Dalam majlis yang mengangkat prestij anugerah seumpama itu kepada warga media di peringkat negeri, Ketua Biro Utusan Malaysia Terengganu, Wan Zulkifli Wan Yaacob dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Kewartawanan.

Pemilihan beliau oleh EPIC, anak syarikat kerajaan negeri yang menjadi peneraju dalam industri berkaitan petroleum dan gas itu dibuat berdasarkan komitmen dan sumbangan dalam dunia kewartawanan di negeri ini.

Terdahulu, Wan Zulkifli yang membawa pulang wang tunai keseluruhan RM4,500 memena­ngi kategori Media Cetak & Portal Berita Online (Berita dan Rencana Terbaik) manakala Mohd. Iswan Shafiq Mat Isa yang kini bertugas di ibu pejabat di Kuala Lumpur di tempat kedua.

Jurufoto Utusan, Azlan Bahrum pula memenangi tempat pertama kategori Fotografi Terbaik dan kesemua mereka membawa pulang wang tunai RM1,500 bagi tempat pertama dan RM1,000 (kedua) berserta sijil penghargaan dan hamper.

Hadiah disampaikan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Ne­geri, Datuk Mohd. Zubir Embong dan Ketua Pegawai Eksekutif EPIC, Noor Fadzil Mohamed Nor.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc., Dr. Wan Ahmad Rudirman Wan Razak; Pengurus Besar Bahagian Perancangan dan Komunikasi Korporat EPIC, Abdul Adzim Abdul Hamid dan Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat), Wan Abd. Rahman Wan Hayat.

Tempat ketiga kategori Media Cetak & Portal Berita Online (Be­rita dan Rencana) diraih wartawan Unit Komunikasi Negeri, Suriati Ali manakala Radio Te­levisyen Malaysia (RTM) Terengganu mengungguli tempat pertama dan kedua kategori Media Elektronik di samping wartawan sambilan Astro Awani, Yusof Mohd. Ali (ketiga).

Sementara itu, Mohd. Zubir berkata, media mempunyai pe­ngaruh yang sangat besar dalam masyarakat, oleh itu setiap be­rita atau laporan yang disampaikan perlu sahih dan benar faktanya.

“Dalam keghairahan masya­rakat menggunakan media sosial pada hari ini, terdapat segelintir yang menyalahgunakannya untuk kepentingan peribadi dengan merosakkan atau menjatuhkan orang lain, melontarkan fitnah kepada kerajaan, melakukan jenayah siber sehingga sanggup mempermainkan isu keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.