Empat wartawan dan seorang jurugambar akhbar ini memenangi tempat pertama empat daripada enam kategori anugerah yang dipertandingkan khusus untuk media cetak iaitu, Laporan Berita Am Terbaik; Pelancongan Terbaik; Berita Sukan Terbaik dan Foto Terbaik.

Wartawan Utusan Malaysia, Azran Fitri Rahim bersama Mohd. Hafiz Abd. Mutalib dan Zaain Zin mengungguli tempat pertama ka­tegori Berita Am Terbaik menerusi laporan bertajuk Hudud Diluluskan.

Mohd. Hafiz turut memenangi tempat pertama kategori Rencana Pelancongan Terbaik menerusi rencana bertajuk Menggamit Nostalgia Tok Guru iaitu mengisahkan mengenai usaha Kerajaan Pas Kelantan mewujudkan sebuah muzium khas yang menempatkan koleksi bara­ngan peribadi serta gambar bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kecemerlangan Utusan Malaysia pada malam anugerah tersebut diteruskan dengan wartawan sambilannya, Yatimin Abdullah memenangi tempat pertama kategori Berita Sukan Terbaik menerusi laporan bertajuk Azraai Penat Layan Tangan Ghaib.

Jurugambar Utusan Malaysia, Rosni Masri pula memenangi tempat pertama kategori Foto Terbaik menerusi gambar Pondok Madrasah Ad-Diniah Yusufiah terbakar.

Kemenangan itu membolehkan wartawan dan jurugambar Utusan Malaysia masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 berserta trofi serta sijil penghargaan.

Sementara itu, Azran Fitri serta Yatimin turut mendapat tempat kedua dan ketiga bagi kategori Rencana Terbaik dan Rencana Alam Sekitar Terbaik.

Dalam pada itu, bagi kategori Berita TV terbaik dimenangi wartawan Astro Awani, Muhafandi Mohamad dan Muhammad Hamdan Chik manakala Ka­tegori Laporan Khas TV terbaik diungguli oleh Wartawan RTM, Ahmad Norzaki Mohd. Noor serta Kamisah Azid.

Kesemua 200 penyertaan untuk lapan kategori yang dipertan­dingkan itu dinilai oleh ahli akademik daripada Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Shah Alam, Selangor.

Majlis anugerah kali kedua bagi mengiktiraf media Kelantan tersebut dianjurkan oleh Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) de­ngan kerjasama Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri.

Majlis itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz dan turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Muhammad Abdul Ghani; Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Azran Deraman dan Presiden Kemudi, Mohd. Zailani Abdul Rahman.