Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Sairin Karno berkata, usaha Kumpulan Utusan dalam mempelbagaikan kaedah pem­belajaran itu amat bertepatan de­ngan cabaran pendidikan masa kini.

Katanya, Tutor merupakan antara bahan pembelajaran yang terbaik setanding dengan bahan-bahan lain dan mempunyai nilai tambah tersendiri.

“Ini merupakan penajaan kali pertama dan merupakan usaha bagus serta patut saya sokong demi pembangunan pendidikan negara.

“Tambahan pula, langkah ini sangat berkesan kerana selepas melihat kejayaan yang memberangsangkan menerusi peng­adaptasian bahan Tutor dalam sesi pembelajaran di sekolah, ia meningkatkan prestasi semua sekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan dan menyerahkan penajaan sebanyak RM60,000 akhbar Tutor kepada 25 sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Keni­ngau, Masly Wahip dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunsanad, Jemira Ekong.

Sairin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan berkata, kemudahan tersebut perlu dimanfaatkan pelajar mahupun guru.

“Penajaan ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Diharapkan sedikit bantuan ini dapat membantu pelajar dan guru dalam meningkatkan pembangu­nan pen­­didikan khususnya di kawasan pedalaman,” katanya.