Komitmen beliau dapat dilihat apabila meneruskan tajaan akhbar pendidikan Utusan Malaysia, Tutor kepada 62 buah sekolah di daerah ini tahun ini.

Beliau yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Temerloh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menaja Tutor bernilai RM39,256 untuk diagihkan ke 45 buah sekolah menengah dan 17 sekolah kebangsaan di daerah ini.

Tajaan kali ini melibatkan 17,166 naskhah Tutor Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Tutor Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) sebanyak 8,160 naskhah, Tutor Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 4,680 naskhah dan Utusan Pelajar berjumlah 14,880 naskhah.

Mohd. Sharkar berkata, penajaan Tutor ke sekolah-sekolah adalah selaras dengan usaha Pejabat Pendidikan Daerah untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan.

Katanya, penajaan Tutor sebelum ini mendapat reaksi positif daripada golongan pendidik kerana menjadi platform dalam usaha meningkatkan kecemerlangan pendidikan.

“Ini bukan kali pertama UMNO Temerloh menaja akhbar pendidikan Tutor yang kita telah mulakan sejak 2016 kerana melihat akhbar pendidikan ini dapat membantu murid-murid dan guru dalam pengajaran serta pembelajaran.

“Kita akan teruskan usaha ini kerana pendidikan sentiasa menjadi agenda utama saya. Walaupun peruntukan saya bukan seperti Ahli Parlimen tetapi saya tidak pernah mengecewakan pihak guru dan sekolah yang memohon bantuan,” katanya pada majlis penyerahan tajaan Tutor di Dewan Ibnu Sina Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tualang di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama, wakil Pegawai Pendidikan Daerah, Faeza Safaruddin; Yang Dipertua Pengetua-Pengetua Sekolah Me­nengah Temerloh, Mohamed Azlan Abdul Rahman; Yang Dipertua Majlis Guru Besar daerah, Mohd. Noor Abd. Rahman dan Pengetua SMK Seri Tualang, Apidah Sukirman.

Dalam pada itu, Faeza berkata, akhbar pendidikan Tutor yang menarik minat murid dan pelajar mampu memberi nilai tambah dalam proses pengajaran serta pembelajaran.

“Tutor seharusnya digunakan dan menjadi kaedah dalam mengajar bagi mencapai kejayaan cemerlang,” katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Temerloh Jaya, Rahani Abdul Kadir berkata, Tutor merupakan produk terbaik dalam membantu guru dan pelajar apabila mampu meningkatkan kecemerlangan sekolah.

“Penggunaan Tutor di SMK Temerloh Jaya sebelum ini terbukti mampu meningkatkan kecemerlangan pelajar apabila bilangan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM semakin bertambah,” katanya.