Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin berkata, ini kerana penyediaan tutorial dan latih tubi dalam Tutor menepati format pendidikan oleh Kementerian Pendidikan seterusnya memudahkan pembelajaran pelajar terutama semasa membuat persiapan akhir menghadapi per­periksaan.

“Saya yakin dengan Tutor ke­rana akhbar pendidikan ini mempunyai format KBAT terbaharu. Oleh itu, saya berharap agar semua guru besar, pengetua serta kakitangan akademik di sekolah dapat memanfaatkan Tutor sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Graduasi dan Anugerah Kecemerla­ngan Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau serta penyerahan akhbar Tutor Utusan Malaysia di Dataran Datin Fatimah SMK Tansau di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengetua Cemerlang SMK Tansau, Siti Salmiah Samaie Tahir; Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Penampang, Mojuntin Ebin, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Tansau, Datu Liman Datu Hussin dan Eksekutif Jualan Utusan Malaysia Sabah, Celestina Ubing.

Dalam majlis penajaan untuk tahun keempat itu, Yahya me­nyerahkan replika cek tajaan Tutor sebanyak 27,792 naskhah selama 16 minggu dan bernilai RM27,792 kepada Siti Salmiah yang akan memberi manfaat 1,312 pelajar.

Seperti tahun lalu, penajaan Tutor itu melibatkan enam buah sekolah bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Petagas, SK Tombovo, SK Kem Lok Kawi, SK Tansau, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC)) Hwa Siong dan SMK Tansau.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan ne­geri berkata, penajaan Tutor dite­ruskan buat kali keempat ke­rana akhbar pendidikan itu dilihat sebagai platform penting untuk membantu pelajar bandar dan luar bandar mengakses bahan ulang­ kaji di sekolah atau rumah.

Menurut beliau, melalui usaha tersebut, diharap akan memberi bantuan mencukupi kepada para pelajar menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.