Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, usaha yang dijalankan syarikat akhbar terkemuka itu sememangnya layak diberi pujian kerana banyak memberi manfaat kepada para pelajar tanpa mengira sama ada mereka tinggal di kota mahu pun desa.

“Hari ini Kumpulan Utusan datang untuk membawa program tersebut kepada para pelajar di Padang Terap. Bagi saya secara peribadi, saya sememangnya tertunggu-tunggu program ini untuk diketengahkan kepada para pelajar.

“Dalam zaman ini, kita tidak mempunyai pilihan dengan para pelajar perlu didedahkan dengan aspek pembelajaran digital. Apa yang dibawa Kumpulan Utusan ini merupakan perkara yang perlu ada dalam pengetahuan anak-anak dan saya berterima kasih kepada mereka kera­na memilih untuk membawa­nya ke Parlimen dan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Prog­ram Pendidikan Bersama Utusan Malaysia dan Kenduri Rakyat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pedu di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Timbalan Pe­ngarah Pendidikan negeri, Rozaini Ahmad serta pengetua sekolah tersebut, Che Nazliah Haron.

Menerusi program itu, seramai 3,335 pelajar dalam Parlimen ini akan menerima kata laluan bagi membolehkan mereka membuat latih tubi mengikut tahap masing-masing.

Beliau dalam pada itu turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga untuk turut serta mempelajari ilmu digital supaya dapat membantu para pelajar memanfaatkan teknologi baharu dalam dunia pendidikan.

Sementara itu Noordin dalam ucapannya berkata, apa yang dilakukan pihaknya itu merupakan sebahagian daripada inisiatif diambil Kumpulan Utusan untuk turut serta dalam memacu kecemerlangan pelajar di negara ini.

“Menerusi program ini, kami berbesar hati menyampaikan produk pendidikan dalam talian ini secara percuma kepada para pelajar yang bakal menjalani peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Tahap Tiga (PT3) serta Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kawasan Parlimen ini melalui menteri.

“Lebih daripada itu, kami turut berbincang dengan rakan kongsi untuk menyumbangkan beberapa perkara lagi kepada pelajar yang keseluruhannya mencecah RM700,000,” katanya.