Pengetua SMK Sungai Manggis, Maimunah Mustafa berkata, kemudahan tablet yang dilengkapi aplikasi Tutor Guru sangat membantu guru dalam merancang dan menyediakan bahan PdPc yang berkualiti secara sistematik.

“Semua guru sekolah ini dari pelbagai peringkat usia dan latar belakang pendidikan teruja untuk menggunakan tab­let berkenaan dalam melaksanakan PdPc yang memenuhi keperluan pembelajaran abad ke-21,” katanya ketika ditemui selepas program intervensi itu di sekolahnya di sini semalam.

Program disertai 80 guru kendalian Eksekutif Pendidikan Utusan Malaysia, Khairul Azmi Kamaludin itu memberi bimbingan kaedah membina lembaran kerja digital yang me­ngandungi soalan latihan, bahan rangsangan multimedia dan jawapan menggunakan aplikasi Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia.

SMK Sungai Manggis yang merangkul Anugerah Kepimpinan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) peringkat ke­bangsaan baru-baru ini turut diiktiraf sebagai Sekolah Mentor bagi program intervensi ini.

Menurut Maimunah, aplikasi Tutor Guru menyediakan ba­nyak kemudahan antaranya bank soalan dan huraian fakta yang boleh membantu guru dalam menyediakan lembaran kerja atau bahan PdPc yang berkualiti sesuai dengan keperluan murid masa kini.

“Lembaran kerja yang dihasilkan tidak memerlukan ke­mahiran berkaitan teknologi maklumat yang tinggi tetapi hasilnya boleh dikongsi dengan rakan sejawat di sekolah lain sebagai satu bentuk perkongsian amalan terbaik,” ujarnya.

Setakat ini, 120,000 guru di Sarawak, Kuala Lumpur dan Selangor telah menerima tablet berkenaan manakala guru di Negeri Sembilan, Perak dan Putrajaya akan dibekalkan peranti sama tidak lama lagi.