Pengetua Sekolah Menengah Sains (SMS) Alam Shah, Roslie Ahmad berkata, dua aplikasi pada tablet ini memudahkan guru mendapatkan bahan sama ada yang tersedia di dalam Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia mahupun menerusi ca­rian di Internet mengikut kesesuai­an topik.

“Oleh itu, guru perlu bijak menggunakan masa terluang untuk memanfaatkan dua aplikasi berkenaan bagi meningkatkan kualiti PdPc di dalam kelas.

“Malah, guru boleh berkongsi lembaran kerja digital yang dihasilkan dengan rakan sejawat di sekolah lain di seluruh negara,” katanya selepas Program Intervensi Tablet Guru di sekolah itu di sini semalam.

Seramai 53 guru sekolah tersebut mengikuti program intervensi anjuran Kementerian Pendidikan dan Utusan Malaysia bagi membuat persediaan aktiviti PdPc yang memenuhi keperluan pem­belajaran abad ke-21.

Program untuk guru penerima tablet ini dikendalikan Penasihat Pendi­dikan Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain; Pengurus dan Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim dan Eksekutif Pendidikan Utusan Malaysia, Khairul Azmi Kamaludin.

Selepas tamat program itu, SMS Alam Shah diiktiraf sebagai Sekolah Mentor bagi program penggunaan aplikasi Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia.

Menurut Roslie, SMS Alam Shah amat mengalu-alukan pelaksa­naan program itu di sekolah yang menekankan kepada pembelajaran abad ke-21.