Filem yang berkisar tentang kisah hidup Zulaikha sendiri itu juga berjaya merangkul anugerah naratif terbaik pada malam gala tersebut.

Penerbitnya, Ikhlas Khaled Novel Ngadimin, 24, berkata, segala penat lelah kumpulannya yang terdiri daripada 10 kru terbayar dengan kemenangan filem Suraya itu.

Ditanya mengenai filem tersebut, pelajar lepasan Universiti Multimedia itu memberitahu, filem Suraya berkisar tentang dilema yang dihadapi penari balet berusia 16 tahun setelah terpilih membuat persembahan Adam dan Eve.

“Dilema berlaku apabila ibu Suraya yang berfikiran konservatif seolah-olah tidak merestui persembahan yang mahu diterajui anaknya itu. Itu yang membuatkan Suraya berada dalam konflik sama ada mahu menerima watak dalam persembahan itu atau tidak,” katanya di sini kelmarin.

AYIFF'16 yang mempertandingkan 61 karya dari dalam dan luar negara seperti Thailand, Indonesia dan Filipina itu dirasmikan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching. 

Yang hadir sama, Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak.

Sementara itu, Kain Ching ketika berucap berkata, penganjuran AYIFF'16 disifatkan sebagai salah satu usaha UUM untuk memperkasakan golongan belia dalam mempamerkan kreativiti, kemahiran dan keyakinan untuk memasuki dunia perfileman yang sebenar.

“AYIFF mempunyai potensi untuk menjadi saluran penting untuk penghasil karya indie baik dari dalam mahupun luar negara untuk menonjolkan bakat seni masing-masing.

“Saya juga percaya pengiktirafan seumpama ini akan me­ngubah landskap industri perfileman negara ke arah yang lebih baik pada masa depan,” ujarnya.