Sebanyak 1,500 unit (sachet) madu Kelulut keluaran syarikat tersebut dibekalkan kepada dua pendaki negara iaitu, dua pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Azim Afif Ishak dan Aidib Yusuf sebagai makanan tambahan sehingga membolehkan mereka berjaya menawan puncak Everest pada 23 Mei lalu tanpa sebarang masalah.

Azim Afif yang juga merupakan Duta Bayu Kelulut berkata, dia terkejut apabila pertama kali mereka membawa madu tersebut ke kawasan pergunungan itu mendapati madu berkenaan tidak beku walaupun dalam cuaca beku dan ini memberikan kelebihan kepada mereka untuk menjadikan madu tersebut sebagai pembekal tenaga.

“Selain itu kebanyakan pendaki gunung pada altitud yang sangat tinggi lazimnya akan mengalami Batuk Kumbu iaitu batuk dan gatal-gatal tekak, namun dengan pengambilan madu kelulut ini, kami tidak mengalami batuk.

“Ini memberikan keselesaan dan kelegaan apabila kami tidak mengalami masalah paru-paru akibat batuk namun yang lebih ketara, madu ini benar-benar memberikan lebih tenaga untuk kami menawan Everest,” katanya.

Pengerusi Eksekutif Bayu Gagah Marketing, Rahim Yusuf menerima plak pengiktirafan tersebut daripada wakil MBOR, Siti Hajar Johor dalam majlis penyerahan yang turut dihadiri Ketua Setia­usaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar.

Sementara itu, Ismail berkata, pengiktirafan MBOR ini merupakan satu lagi pengiktirafan tinggi terhadap madu kelulut selepas madu ini dijadikan pengambilan konsisten kepada atlet veteran Sabri Ali, 54, yang berjaya me­nyudahkan acara Kelulut Walk 2016 berjalan kaki lebih 2,000 kilometer baru-baru ini.

“Madu kelulut benar-benar tepat dijadikan superfood negara apabila ia terbukti memberikan kesan yang sangat positif jika dijadikan amalan pemakanan dan kita berharap bermula tahun depan madu kelulut akan me­nguasai pasaran tempatan dan dapat meneroka pasaran antarabangsa,” katanya.