Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, tema itu dipilih agar rakyat Malaysia dapat membina semangat sehati sejiwa tidak kira mereka berada di Semenanjung, Sabah atau Sarawak.

Lebih istimewa, beliau berkata, pada tahun ini juga buat pertama kali sambutan tidak akan menyebut ulang tahun kali ke berapa sebaliknya hanya dikenali sebagai sambutan Hari Kebangsaan 2015

“Mulai tahun ini, kita hanya sebut Sambutan Hari Kebangsaan 2015 dan tidak lagi disebut kali ke berapa kerana kita mahu merapatkan hubungan antara rakyat tanpa mengira mereka dari Semenanjung, Sabah atau Sarawak.

“Ini kerana jika kita masih menyebut ulang tahun, ia hanya terarah kepada Semenanjung yang mendapat kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan rakyat Sabah dan Sarawak akan rasa ia tidak ada kaitan dengan mereka.

“Jika ada berlaku bencana atau kemalangan, ia mesti dirasakan bersama seluruh rakyat Malaysia, suka dan duka perlu dirasakan bersama dalam satu negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Prapelancaran Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2015 di Dataran Merdeka, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Syarifah Zarah Syed Ahmad dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Othman Mahmood.

Dalam majlis itu juga, Ahmad Shabery turut membuat pelepasan konvoi Eksplorasi SehatiSejiwa yang bakal menjelajah ke seluruh negara bagi mempromosikan sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini.

Selain itu, majlis berkenaan turut memperkenalkan rakan strategik yang akan terlibat menjayakan sambutan Hari Kebangsaan 2015 iaitu Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Telekom Malaysia Berhad, Astro dan Pos Malaysia Berhad.