Program yang menggabungkan elemen pendidikan dan hiburan itu bermula di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat dan kemudian menjelajah ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain. Antara institusi yang menyertai program itu ialah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Politeknik Nilai Negeri Sembilan dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Ketua programnya, Nurilliana Shareen Zakaria berkata, program yang dimulakan sejak 2013 itu berjaya menarik belia dalam aktiviti kesukarelawan.

Tambahnya, program itu juga memberi nilai tambah kepada belia khususnya penuntut institusi pengajian tinggi dalam mendidik anak muda mengejar cita-cita serta impian mereka.

“Peserta program ini bukan sahaja mendapat inspirasi daripada aktiviti motivasi yang diadakan. Malah, mereka juga melibatkan diri dalam sesi diskusi serta ceramah daripada individu yang berjaya dalam bidang masing-masing.

“Antara individu terbabit ialah Ketua Eksekutif Astro Radio, Datuk Jake Abdullah dan usahawan sosial, Raviraj G. Sawlani yang mampu mencetus semangat kepada golongan sasaran untuk berjaya dalam bidang diceburi,” ujarnya kepada S2.

Menurutnya, program itu turut memasukkan elemen hiburan dengan membawa beberapa artis seperti Syamel,kumpulan Masdo dan Pitahati, sekali gus memberi penghargaan kepada penggiat industri muzik tanah air.

Dalam pada itu, Nurilliana berkata, gabungan peserta dengan golongan selebriti memberi peluang kepada mereka bersama-sama melakukan aktiviti kesukarelawan dengan mengecat semula bangunan Sekolah Kebangsaan Merlimau Dua.

“Aktiviti seperti ini memberi peluang kepada kedua-dua pihak menjalankan khidmat komuniti, selain mengeratkan hubungan silaturahim sesama mereka.

“Selama tiga hari program itu berlangsung, iM4U bertungkus-lumus memastikan komuniti setempat turut mendapat impak,” katanya.

Menurutnya, sepanjang program itu dijalankan, pihaknya berjaya mengumpul lebih 400 sukarelawan untuk dikerah ke lima lokasi terpilih.

Katanya, pada tahun hadapan, pihaknya akan memperluaskan program tersebut di luar Lembah Klang.

“Kita sasarkan belia di beberapa negeri seperti Sabah dan Sarawak untuk mendekati golongan komuniti setempat menjalankan aktiviti kesukarelawan,” katanya.