Sehubungan itu usaha Kementerian Perta­hanan dan Kumpulan Utusan itu wajar menerima pujian positif kerana penceritaan mengenai sejarah penubuhan Rejimen Askar Me­layu Diraja (RAMD) dalam memperjuangkan kedaulatan bangsa, negara dan agama perlu diketengahkan.

Pegawai Staf 3 Lain-lain Pangkat Jabatanarah Infantri, Kapten Muhammad Firdaus Sa’ad, 31, berkata, kedaulatan dan keama­nan negara perlu dicapai bersama melalui kesatuan hati dan perpaduan rakyat.

“Petikan sejarah penubuhan dan pergerakan RAMD yang dipaparkan boleh mencetuskan inspirasi kepada masyarakat luar untuk lebih yakin dengan persediaan barisan pertahanan di negara ini.

“Masyarakat perlu didedahkan dengan informasi sebegini kerana mungkin boleh menjadi titik permulaan dalam diri rakyat untuk sama-sama berjuang dan rasa cinta kepada negara boleh dipupuk,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Rakan seanggotanya, Kapten Norshahidin Long, 31, berkata, RAMD yang mula beroperasi pada tahun 1933 merupakan kor pertahanan negara yang tertua di Malaysia dan pelbagai kisah suka dan duka telah dilalui.

“Pengalaman yang lalu serta sikap komited dalam diri pegawai yang mahu mengekalkan tradisi dan keupayaan unit pertahanan ini tidak boleh disangkal kerana tanpanya, keharmonian yang dikecapi hari ini tidak akan dirasai.

“Ucapan terima kasih ingin diucapkan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menyediakan sisipan Pejuang ini kerana di dalamnya, tersergam lambang kegagahan dan kekentalan seseorang perwira,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pembantu Tadbir di kementerian berkenaan, Dayang Nor Afima Awang Ismail, 25, berkata, golongan muda yang bercita-cita untuk menjadi sebahagian daripada RAMD pasti akan lebih bersemangat selepas meneliti sisipan Pejuang.

“Perjuangan RAMD adalah satu langkah besar yang telah memiliki pelbagai pengalaman serta kekuatan yang sukar ditandingi kerana di sebalik kepayahan yang dihadapi, taat setia kepada negara tetap menjadi keutamaan,” ujarnya.