Sambutan memberangsangkan untuk minggu kedua tayangan ini didorong oleh reaksi positif para peminat yang telah menontonnya sejak 28 Januari 2016 lalu selain program promosi yang kini giat dijalankan.

Pihak Astro Shaw dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, filem ini berjaya memberikan impak yang besar di laman-laman sosial apabila ramai pengguna memperkatakan mengenai filem tersebut.

Jumlah tontonan trailer dari Facebook dan YouTube pula mencatat 1.6 juta tontonan dan me­ning­kat setiap hari.

Berlatarbelakangkan era 1980-an, Ola Bola merupakan kisah kejayaan, keberanian dan semangat bersatu yang memberi inspirasi kepada barisan pemain bola sepak Malaysia untuk bangkit daripada kekecewaan dan muncul menjadi wira negara.

Kisah yang diilhamkan daripada peristiwa sebenar ini bukan sahaja memaparkan semangat juang dan maruah pasukan bola sepak negara, tetapi menyaksikan kepayahan dan kesungguhan barisan pemain dalam mengatasi masalah peribadi dan pasukan.

Filem ini juga mendalami kehidupan seharian dan memaparkan semangat waja pasukan bola sepak negara yang tidak kenal erti putus asa walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.

Filem arahan Chiu Keng Guan ini dibintangi oleh Bront Palarae, JC Chee, Luqman Hafidz, Saran Kumar, Eric Teng Shin Wang dan Lim Jian Wen di samping penampilan istimewa Datuk Rahim Razali.