Selain merangkul anugerah utama, filem Munafik turut berjaya membawa pulang trofi kemenangan untuk ka­tegori Pengarah Terbaik, Penyunting Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonan hebat aktres, Nabila Huda.

Filem Jagat arahan Shanjhey Kumar Perumal pula diiktiraf sebagai Filem Terbaik Malaysia iaitu kategori yang baharu diperkenalkan dalam FFM28.

Filem Jagat turut menewaskan filem Ola Bola dalam festival filem kali ini yang mengundang kontroversi setelah timbul bantahan sebilangan penggiat filem tempatan yang mendesak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) supaya tidak memisahkan kategori filem yang dipertandingkan.

Naib Presiden dan Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar mewakili filem Ola Bola menerima Anugerah Khas Juri.

Mempertandingkan seba­nyak 21 kategori, FFM28 dianjurkan oleh Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) di bawah sokongan penuh Finas dan dihoskan pasangan pengacara Sherry Alhadad dan Nabil Ahmad.

Yang turut hadir, isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Hamidah Khamis; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Sri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad; Pengerusi Finas, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib serta Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman.

Acara itu disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria.

FFM kali ini dimeriahkan dengan persembahan penyanyi popular iaitu Dayang Nurfaizah, Jaclyn Victor, Bunkface, Aizat Amdan, Tomok, Lan Typewri­ter, Man Bai, Teacher’s Pet, Dewi Liana Seriestha, Ernie Zakri dan Back to Basixx.