RAZMI ABDUL RAZAK
RAZMI ABDUL RAZAK

Pengarah Pengajian Maktab Tentera Diraja (MTD), Razmi Abdul Razak berkata, pertandingan ini merupakan usaha yang baik dan wajar dicontohi pihak lain kerana menyediakan platform kepada pelajar menyampaikan mesej perpaduan.

“Pertandingan seperti ini membantu mencungkil bakat dan kreativiti pelajar untuk mengolah atau menghasilkan idea mereka melalui video menampilkan kepelbagaian etnik di Malaysia yang dapat hidup dalam perpaduan sehingga menjadi simbol 1Malaysia pada masa kini,” katanya ketika ditemui di sekolahnya di sini, semalam.

Beliau membim­bing lima pelajar ting­katan 5 MTD iaitu Muhd. Amirul Amir Rohimee, K. Naidu Tarmesh Naidu, Clyar­raencee Choo Meng Quan dan pelajar berketurunan Siam, Akphiraq Sriphardee serta anak Orang Asli kaum Temuan, Shazarizal Saribut menyiapkan papan cerita video untuk pertandingan ini.

Pertan­dingan Video Pendek #muhibah Utusan Malaysia/Utusan Online yang bermula 1 Januari lalu hingga 31 Disember ini terbuka kepada semua pelajar sekolah menengah.

Antara syarat yang ditetapkan ialah penggunaan Bahasa Melayu serta perlu menyampaikan mesej perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini manakala empat video terbaik yang dimasukkan ke laman www.muhibah.my akan dipilih sebagai pemenang bulanan yang menawarkan hadiah RM1,000 bagi setiap pemenang tajaan Orando Holdings.

Sementara itu, Muhd. Amirul Amir berkata, mereka teruja untuk menyertai pertandingan itu kerana konsep pertandingan yang menggalakkan semangat muhibah dalam kalangan masyarakat majmuk di negara kita.

“Kami pelajar pelbagai kaum bersama-sama berkongsi idea dan mengemukakan cadangan untuk menghasilkan video pendek yang kreatif selaras dengan hasrat penganjuran pertandingan ini,” katanya.

Sekolah yang hendak menyertai pertandingan, boleh berhubung dengan pejabat pendidikan daerah masing-masing untuk mendapatkan maklumat lanjut atau layari www.utusan.com.my.