SALINA IBRAHIM
SALINA IBRAHIM

Menurut Salina, 45, dia mula menulis novel itu pada 2015 dan pada waktu itu hanya sempat menulis lima bahagian dan berhenti kerana belum dapat melihat hala tuju novel berkenaan.

“Kemudian saya sambung semula menulis pada pertengahan 2016 apabila saya sudah betul-betul memahami subjek dan jalan cerita yang saya mahukan,” katanya pada majlis penyampaian HSKU, semalam.

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang dalam majlis yang berlangsung di Hotel Istana, di sini.

Salina yang merupakan seorang bekas wartawan kini me­rupakan penulis sepenuh masa menerima RM12,000, watikah penghargaan dan buku penghargaan HSKU.

Menurut penulis itu, idea penulisan novel Khilaf yang mengupas bagaimana seseorang itu boleh terlibat dengan ideologi jihad dan ekstremisme adalah berdasarkan situasi semasa isu itu di Malaysia.

“Dalam novel ini saya ingin pembaca menghayati bagaimana orang yang mempunyai latar belakang pendidikan tinggi juga boleh terdedah kepada ideologi tersebut sekiranya mereka tiada pegangan atau kefahaman yang betul mengenai Islam.

“Adakah mereka yang terlibat itu faham atau tidak apa itu jihad dalam agama yang sentiasa mementingkan keamanan. Bagi saya, cabaran untuk menyiapkan novel ini adalah susunan plot kerana novel ini melibatkan dua watak utama,” katanya.

Menurut Salina, dia turut mendapat bantuan daripada rakan yang bekerja di Iraq untuk menge­tahui sedikit sebanyak berkenaan isu ekstremis di sana.