Pengetuanya, Norwati Muhammad berkata, seramai 850 pelajar meraikan sambutan itu yang diadakan di pekarangan sekolah dengan pelbagai acara menarik termasuk persembahan daripada guru dan pelajar.

Katanya, tema tersebut di­pilih oleh Kelab Kebajikan Guru sekolah tersebut dan yang menariknya, guru membawa pakai­an kerja mereka dan diletakkan di pusat sumber sekolah bagi membolehkan pelajar memakainya.

Menurutnya, walaupun tema Kembali Ke Sekolah ini sudah biasa digunakan, namun kelainannya adalah apabila pelajar memakai baju seperti guru.

“Ini secara tidak langsung men­yedarkan bahawa mereka juga bertanggungjawab dalam proses membina negara bangsa yang berjaya.

“Kami amat teruja. Sebaik sahaja tiba di sekolah dan berjumpa satu sama lain, satu perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata kerana sebelum ini kami menjadi guru, namun hari ini kami pelajar dan sebalik­nya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sambutan tersebut dimulakan pada pukul 8 pagi dan disertai 850 pelajar dan 64 guru.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Angkasa, Nasir Khan Yahaya dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Dato’ Ahmad Razali, Aziz Md. Derus.

Terdahulu, Pengarah Urusan Gallery Bookstore Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Salleh Saidin men­yampaikan sumbangan buku dan melancarkan Kad Privilege Gallery Bookstore.

Jelas Mohd. Salleh, kad tersebut membolehkan pelanggan me­nikmati diskaun 10 peratus untuk belian bahan bacaan dan lima peratus untuk alat tulis di seluruh cawangan Gallery Bookstore

“Selain itu, kami turut men­yumbangkan sebanyak RM2,500 kepada pihak sekolah dan kad tersebut juga diberikan secara percuma kepada guru-guru.

“Bukan itu sahaja, kami turut menyerahkan buku-buku kepada Pusat Sumber sekolah dan guru-guru sendiri akan datang ke kedai kami untuk memilih bahan bacaan tersebut,” katanya.