Penerbit bersama merangkap pengedar rasmi filem Kabali, Datuk Abdul Malik Dasthigeer berkata, perkara itu pada mulanya tercetus daripada idea ‘cakap-cakap kosong’ daripada pihaknya namun diambil perhatian serius oleh Rajinikanth sehingga direalisasikannya.

Katanya, dubbing ini adalah hadiah paling berharga kepada peminat di Malaysia yang mahu menonton filem itu dalam bahasa Melayu.

“Ketika ini kami dalam peringkat saringan uji bakat mereka yang akan terlibat dalam alih suara ini. Kami sudah kenal pasti empat orang dan kini dalam proses memilih yang terbaik.

“Selepas shooting Kabali dalam beberapa hari ini yang telah selesai (di negara ini), kami akan berlepas ke India untuk proses alih suara bersama-sama Rajinikanth dan pelakon lain.

“Apa yang membuat kami lebih bersemangat adalah Rajinikanth sendiri begitu teruja apabila diberitahu perkara ini,” kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.

Abdul Malik memberitahu, pi­haknya mengutarakan idea alih suara filem tersebut kerana mahu memberi pengiktirafan kepada pelakon-pelakon tempatan untuk turut sama merasai impak populariti Kabali kelak yang mungkin mencecah box office.

“Malah, dunia akan melihat keindahan negara ini melalui filem ini yang penggambarannya hampir 80 peratus dilakukan di Malaysia. Kita cuba dahulu eksperimen atau uji kaji ini untuk melihat sejauh mana sebenarnya ‘kegilaan’ peminat di Malaysia terhadap filem tamil. Rata-rata orang lebih teruja apabila filem-filem Hollywood, kini kami sajikan anda dengan baha­sa kita sendiri,” katanya.

Tambah Abdul Malik yang juga Pengarah Urusan Malik Streams Corporation, pihaknya sedang berkira-kira untuk melakukan proses alih sua­ra ke bahasa Indonesia pula selepas ini bergantung kepada penerimaan penduduk di republik tersebut.

“Apa yang pasti, cubaan ini mungkin akan membuahkan manfaat yang baik untuk Rajinikanth dan warga penerbit filem itu yang bersetuju untuk bekerja dengan pengeluar filem tempatan seperti syarikat saya,” katanya.

Rajinikanth, 66, baru-baru ini menyiapkan beberapa babak atau adegan filem Kabali di beberapa lokasi terpilih di Malaysia. Beliau yang berada di negara ini selama hampir 50 hari memperuntukkan RM35 juta untuk penggambaran di sini, dengan anggaran kos keseluruhan penerbitan filem itu sebanyak RM60 juta.

Kabali dijangka mencatat pecah panggung dan menerima sambutan luar biasa daripada peminat beliau di seluruh dunia. Filem-filem lakonan dan arahan beliau yang pernah mencatat jumlah kutipan luar biasa adalah Muthu, Baasha, Chandramukhi, Sivaji dan Ethiran.

Kabali adalah filem ke-159 Rajinikanth arahan P Ranjith yang memaparkan kisah kehidupan sebenar kumpulan penjenayah (Don) di India.

Filem itu turut menyaksikan pe­nampilan khas menantu bekas Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu iaitu Datin Shaila Nair dan Malik sendiri.

Selain itu, beberapa artis tem­pat­an terkenal seperti Rosyam Noor, Norman Hakim dan Jack Taipan 7 turut memegang watak penting dalam filem tersebut.

Selain berlakon, Rajinikanth atau nama sebenarnya Shivaji Rao Gaikwad juga merupakan seorang konduktor bas sebelum dikenalpasti oleh pengarah dan penulis skrip K.Balachander.

Penampilan pertamanya dalam filem Apoorva Raagangal pada tahun 1975 berjaya melonjakkan namanya sehingga filem itu dipilih menerima Anugerah Filem Nasional.

Walaupun usaha Utusan Malaysia untuk menemuramah beliau gagal berikutan jadu­al penggambaran yang ketat, beliau sempat menyampaikan pesanan melalui Abdul Malik de­ngan beberapa kenyataan positif­nya terhadap Malaysia.

“Rakyat anda (Malaysia) bukan sahaja berjaya membuktikan mereka antara peminat fanatik (saya) tetapi lebih dari itu, mereka juga menunjukkan perilaku mesra yang tiada tolok bandingnya,” katanya.

“Ketika dalam perjalanan ke lapangan terbang (KLIA untuk berlepas pulang ke India), saya telah jatuh cinta kepada kehebatan seni bina Putrajaya yang gah,” antara luahan Rajinikanth.