Timbalan Naib Canselor (Jari­ngan Industri, Masyarakat dan Alumni) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Zaini Abdullah berkata, melalui per­tandingan tersebut, mesej-me­sej keseda­ran bukan sahaja da­pat disebarkan bagi menjadikan alam siber sebagai ruang yang selamat untuk dilayari ma­sya­rakat.

Malah, ujar beliau, pertan­dingan itu juga dapat menjadi platform untuk pemain industri mengintai bakat-bakat baharu dalam menguatkan lagi benteng pertahanan siber.

“Kebelakangan ini serangan siber semakin menjadi-jadi. Ki­ta berdepan dengan musuh yang lebih bijak dan licik, serangan mereka semakin sukar dikesan dan dijangka.

“Serangan Ransomware Wan­naCry pada tahun lalu misalnya, telah menjejaskan kira-kira 300,000 buah komputer melibatkan 150 buah negara.

“Sebab itu kerjasama antara pihak industri dan IPT sangat penting, antaranya dalam memantapkan lagi sistem inovasi kebangsaan mengenai keselamatan siber,” katanya ketika berucap dalam majlis penutupan i-Hack 2018 di sini baru-baru ini.

Dianjurkan oleh Fakulti Sains Komputer dan Matematik UiTM dengan kerjasama Jabatan Forensik Digital, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), i-Hack merupakan pertandingan keselamatan siber yang diadakan secara dwitahunan sejak 2004.

i-Hack 2018 yang berlangsung selama dua hari disertai kira-kira 500 peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar IPT awam dan swasta dari seluruh negara.

Pasukan daripada Universiti Asia Pasifik (APU) berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000 setelah mengungguli Pertandingan Menggodam, Mempertahan dan Forensik.

Pasukan daripada UiTM pula yang menjuarai acara Inovasi Keselamatan Siber dan Forensik Digital membawa pulang hadiah wang tunai seba­nyak RM1,500.

Selain dua pertandingan uta­ma itu, beberapa aktiviti lain turut diadakan dalam i-Hack 2018 seperti forum, bengkel, ceramah kerjaya dan explorace Klik Dengan Bijak (KDB).

Dalam pada itu, Zaini berkata, pihaknya bercadang mewujudkan pusat kecemerlangan mengenai keselamatan siber da­lam tempoh terdekat.

Ujar beliau, pusat itu bakal dimanfaatkan pihak universiti untuk mengkaji dan meneliti langkah sesuai bagi menangani ancaman serta jenayah siber.

Sementara itu, Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan MCMC, Zulkarnain Mohd. Yasin ber­kata, penglibatan MCMC di dalam pertandingan tersebut adalah untuk mewujudkan kese­daran kepada para peserta dan masyarakat tentang penggunaan internet yang betul supaya mereka tidak terjerumus atau menjadi mangsa jenayah siber.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan pihak UiTM dan berharap ianya dapat diteruskan untuk tahun-tahun akan datang.

“Saya berharap kesemua peserta dapat menimba ilmu dan pengalaman berguna sepanjang pertandingan ini dan dapat mempraktikkannya secara bertanggungjawab,” katanya.