Terkini, aplikasi transaksi kewangan Direct Debit yang dirintis melalui kerjasama strategik MyClear dan Bank Islam, menjadi pelengkap pelbagai perkhid­matan yang ditawarkan institusi pembiayaan pendidikan itu demi kemudahan pelanggan.

Pengerusinya, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, inisiatif bermula 2 November lalu, menunjukkan perkembangan kon­dusif apabila bilangan peminjam beserta jumlah kutipan mencatatkan peningkatan ketara.

Menurutnya, pengenalan sistem pembayaran interaktik Direct Debit Online bukan sekadar mudahkan pengguna dan bermanfaat, malah mengurangkan operasi manual di kaunter serta karenah birokrasi merumitkan pelanggan.

“Hasil komitmen berterusan PTPTN dengan rakan strategik, kini permohonan Direct Debit boleh dibuat secara online oleh peminjam dengan hanya melayari portal rasmi www.ptptn.gov.my dan klik icon ‘Permohonan Direct Debit’ di ruang ‘Perkhidmatan Atas Talian’.

“Kaedah pembayaran ini turut memberi kemudahan pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) sebagai usaha interaktif PTPTN menggalakkan tabungan dalam kalangan masyarakat.

“Sehingga April 2017, jumlah bayaran balik melalui aplikasi Direct Debit meningkat ketara bermula dengan RM70,000 sahaja melibatkan 442 peminjam, me­lonjak kepada 57,010 peminjam dengan jumlah kutipan RM7.38 juta,” katanya pada Majlis Pelancaran Direct Debit Online di Menara PTPTN di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff; Pengarah Urusan MyClear, Peter Schiesser dan Ketua Deposit dan Pengurusan Tunai Bank Islam, Zury Rahimee Zainal Abideen.

Perkhidmatan terkini ditawarkan PTPTN menjadi pelangkap kepada pelbagai jenis saluran kemudahan bayaran balik pinjaman yang tersedia sebelum ini seperti perbankan internet, MyPay dan JomPay.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata, penggunaan dan pembangunan sistem permohonan Direct Debit Online akan membantu memudahkan peminjam membuat bayaran balik secara konsisten selain kemudahan deposit SSPN-i.

Menurut­nya, seba­nyak 17 bank ko­mer­sial turut me­nyedia­kan kemudahan bayaran menggunakan aplikasi ini secara langsung memberi lebih ruang serta pilihan kepada peminjam berurusan dengan mana-mana bank yang digemari.

“Lebih menarik, kaedah pembayaran ini turut membolehkan peminjam meraih diskaun 10 peratus serta mengikuti jadual bayaran balik yang ditetapkan. Sehingga 30 April 2017, seramai 32,003 peminjam PTPTN telah menikmati diskaun bayaran balik melalui Direct De­bit, melibatkan jumlah kutipan RM19.49 juta.

“Dengan pelbagai instrumen pembayaran yang interaktif, sejumlah 1.97 juta peminjam akan mengguna dan memanfaatkan kaedah bayaran ini, seterusnya membantu merealisasikan sasar­an kutipan pinjaman sebanyak RM4 bilion menjelang penghujung tahun ini,” ujarnya.