Pelancaran peringkat ne­geri yang berlangsung di [email protected], di sini hari ini merupakan sebahagian daripada jelajah NCIA ke empat ne­geri di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) iaitu Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang.

Acara itu bertujuan mening­katkan kesedaran dan mempromosi serta membincangkan rangka tindakan yang bakal menentukan hala tuju pembangunan sosioekonomi di wilayah ini.

Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq berkata, berpaksikan tema ‘Pertumbuhan Berteraskan Kesaksamaan Sosial’, Blueprint 2.0 ini bertujuan menjana pembangunan ekonomi yang mampan serta inklusif di negeri Perak melalui pembukaan industri baharu, pelaburan dalam pemba­ngunan modal insan serta mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan yang strategik. 

Justeru, katanya, wilayah-wi­layah ekonomi yang terlibat perlu menyesuaikan diri dengan perubahan dan cabaran semasa.

“Perubahan sosio ekonomi dunia sangat ketara beberapa abad kebelakangan ini, dan wilayah-wilayah ekonomi di Malaysia ha­ruslah peka, pantas dan kreatif selaras dengan kehendak semasa dan masa hadapan.

“Ini termasuk mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama dengan pihak berkepentingan merangkumi ma­­syarakat, negeri-negeri, keraja­an-kerajaan tempatan, in­dustri-industri serta badan-badan bukan kerajaan,’’ katanya.

Redza berkata, usaha ke arah pembangunan harus bersifat in­klusif dan bukan hanya menyediakan akses kepada pendidikan dan kesihatan tetapi harus mengambil kira elemen keterangkuman sosial serta ekonomi berpendapatan tinggi sebagai aspek penting dalam apa juga peranca­ngan yang dilakukan.

“Sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam merangka dan melaksanakan polisi, kita harus peka dan mempunyai sifat ingin mengambil tahu tentang ma­syarakat kerana input mereka penting dalam proses penyediaan rangka tindakan. 

“Ini juga selaras dengan pendekatan yang diambil kerajaan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kese­belas (RMK-11) untuk mengukuh dan memperkasakan lagi ekonomi rakyat,’’ ujar beliau.

Menurut beliau, Blueprint 2.0 yang berinspirasikan  RMK-11, Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Tadbir-urus (GTP) dan Model Ekonomi Baharu (NEM) menggariskan 80 projek strategik yang bakal memacu pertumbuhan ekonomi merentasi empat negeri di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) untuk mencapai sasaran RM300 bilion pada 2025.

Katanya, daripada tujuh projek berimpak tinggi yang diklasifikasikan sebagai ‘nod pertumbuhan’, dua daripadanya terletak di Perak iaitu kawasan Greater Kamunting Conurbation (GKC) dan Manjung-Aman Jaya Maritime City. 

“Initiatif ini adalah usaha untuk meluaskan manfaat ekonomi kepada kawasan yang menjadi keutamaan di Perak dengan memacu per­tumbuhan KDNK serta meningkatkan kemampanan melalui komponen sosio ekonomi dan fizikal,’’ kata Redza.

GKC merupakan projek usahasama NCIA dengan Kerajaan Negeri Perak sebagai sebahagian inisiatif kerajaan negeri untuk mencapai sasaran menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang  2030. 

Sementara itu, Manjung-Aman Jaya Maritime City bakal membuka potensi ekonomi di daerah tersebut melalui lapan kluster utama iaitu pembuatan, maritim, pertanian, perikanan dan akuakultur, pelancongan, infrastruktur, hab halal serta sumber manusia.

Selain itu, katanya, NCIA akan memastikan setiap negeri dalam wilayah NCER dapat bersama-sama menjayakan inisiatif pembangunan yang dirancang dalam usaha memenuhi potensi ekonomi setiap negeri melalui 28 Projek Merentasi Sempadan dan 45 projek berimpak tinggi setempat.