Perdana Menteri berkata, cara berkenaan adalah jauh le­bih baik berbanding penubuhan serantau lain yang kini mendapati ia telah mengundang permasalahan akibat perpecahan.
 Menurut beliau, ASEAN telah diiktiraf sebagai pemacu utama da­lam as­pek politik, keselama­tan dan pembentukan ekonomi sera­n­­­tau.

“Melalui sesi dialog seperti Forum Serantau ASEAN dan Sidang Kemuncak Asia Timur, kita telah dapat mengajak bersama kuasa-kuasa besar untuk berunding dan berbincang berhubung beberapa isu penting yang berlaku hari ini.

“Pada masa sama, kita telah mengekalkan semangat persahabatan, membuat keputusan secara konsensus selain menghormati kedaulatan setiap negara. Kita bersatu dalam ASEAN tetapi kita tidak mengganggu hal-ehwal dalaman negara-negara jiran,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Ulang Tahun Ke-50 ASEAN di Suria KLCC, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, ASEAN pada 50 tahun lalu telah menandakan peristiwa bersejarah selepas ayahandanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang pada ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri bersama lima pengasas negara lain menandatangani Deklarasi Bangkok sebagai satu usaha kolektif serantau demi membina ikatan persaudaraan antara satu sama lain.

Katanya, Tun Abdul Razak pernah menyebut pada majlis menandatangani deklarasi berke­naan pada 8 Ogos 1967 bahawa setiap negara tidak boleh bertahan lama secara bersendiri melainkan berfikir dan bertindak secara bersama dan membuktikan bahawa kita dimiliki oleh sebuah keluarga dalam bangsa Asia Tenggara yang diikat melalui tali persaudaraan dan membentuk perjalanannya sendiri.

“Pastinya selepas 50 tahun ini, para pengasas ASEAN akan terkejut melihat perkembangan ASEAN hari ini. 10 negara telah menganggotainya berbanding lima negara pada awalnya, telah menunjukkan kemajuan pesat dalam pembangunan ekonomi. Dengan penubuhan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA), halangan tarif dihapuskan kepada aliran bebas untuk pasaran 625 juta masyarakatnya.

“Dengan nilai AS$2.6 trilion (RM11.16 trilion) jumlah gabu­ngan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ekonomi ASEAN merupakan keenam terbesar di dunia pada ketika ini dan disasarkan berada pada kedudukan keempat menjelang tahun 2050 dan dijangka boleh dicapai lebih awal pada tahun 2030,” katanya.

Perdana Menteri pada masa sama turut meminta setiap negara anggota perlu berusaha untuk menjadikan ASEAN sentiasa relevan selain meletakkan komitmen untuk melaksanakan perkara-perkara yang terkandung dalam Deklarasi Kuala Lumpur Mengenai Penubuhan Komuniti ASEAN pada 2015 dengan matlamat amalan politik bersatu-padu, ekonomi bersepadu dan bertanggungjawab sosial.