Perdana Menteri berkata, defisit fiskal negara juga dijangka dapat dikurangkan kepada tiga peratus pada akhir tahun ini daripada kedudukan terkini 6.7 peratus selain pelaksanaan kerajaan ke arah langkah belanjawan berimbang.


Sambil menempelak tindakan pembangkang yang masih mengaitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan kedudukan hutang negara, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, isu berkenaan hanya melibatkan isu teknikal dan bukannya soal tidak mampu membuat bayaran balik pinjaman sehingga menjejaskan keyakinan pihak luar terhadap ekonomi negara.


“Kita sentiasa melakukan usaha-usaha untuk menentukan rakyat terbanyak mendapat faedah daripada dasar-dasar kerajaan. Sebab itu saya umumkan baru-baru ini pakej untuk peneroka Felda, insentif kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pada bulan-bulan mendatang lebih banyak usaha kerajaan akan dilakukan.


“Kita sebagai sebuah kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk rakyat tetapi tidak boleh menjanjikan benda-benda tidak masuk akal yang lazimnya dijanjikan pembangkang sebagai gula-gula untuk menyukakan hati rakyat tetapi kita tahu tidak mampu dilakukan oleh mana-mana kerajaan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini. - UTUSAN ONLINE