Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Kulai menerima kes leptospirosis melibatkan kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dan adik lelakinya berusia lima tahun pada Khamis lalu.

Beliau berkata, kedua beradik itu telah mengalami muntah dan cirit-birit pada 18 Februari lalu dan dimasukkan ke Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai enam hari kemudian.

"Kedua-dua kanak-kanak itu telah dibenarkan keluar hospital pada 24 Februari dengan didiagnoskan sebagai Acute Gastroenteritis (AGE).

"Notifikasi leptospirosis dibuat ekoran keputusan makmal darah kedua pada 13 Mac lalu, kanak-kanak tersebut dilaporkan serologi positif," katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi. - UTUSAN ONLINE