KOTA SAMARAHAN 8 Jun – Hukuman mati terhadap sembilan anggota kumpulan penganas Kiram yang diputuskan Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini, dianggap setimpal dengan pencerobohan yang dilakukan mereka di Lahad Datu pada 2013.
Balu kepada seorang pegawai polis yang terkorban, mendiang Deputi Superintenden Michael Padel, Jabah Mingku, 38, berkata, dia bersyukur dengan keputusan yang dibuat oleh panel hakim bagi mengubah hukuman yang dikenakan terhadap mereka.
“Akhirnya, kematian suami saya terbela dan hukuman ini memang layak kerana saya difahamkan sebelum ini mereka hanya dikenakan penjara seumur hidup,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Taman Palm Villa di sini, hari ini.
Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan mengubah hukuman penjara sepanjang hayat yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 26 Julai tahun lalu kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan.
Mereka disabitkan melakukan kesalahan di beberapa tempat berbeza di Kampung Bakau dan Kampung Peringi di Semporna; Kampung Madai di Kunak; Ladang Atlas 2 di Jalan Ulu Tungku dan Kampung Tanduo di Lahad Datu di antara 9 Februari 2013 dan 13 Mac 2013.
Dalam pada itu, Jabah mengakui masih bersedih atas kehilangan suaminya sehingga kini, malah pernah menjalani terapi bagi memulihkan semangatnya untuk menjalani kehidupan harian.