NORLIZA
NORLIZA

Naib Ketuanya, Datuk Norliza Abd. Rahim berkata, pendirian itu mengambil kira keperluan untuk pemerintah di negara ini mengamalkan peruntukan yang selari dengan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Lebih daripada itu, tambah beliau, hukuman sebat tersebut juga dilaksanakan dalam semangat untuk memberi pengajaran dan keinsafan, bukannya bertujuan untuk menghina atau memalukan pesalah.

“Ini juga merupakan peristiwa besar dan bersejarah dalam sistem perundangan syariah negara yang mana hukuman ke atas pesalah kini dijalankan berlandaskan seperti apa yang disarankan di dalam al-Quran,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Norliza yang juga Ketua Wanita UMNO negeri mengingatkan pihak-pihak yang lantang mempertikai pelaksanaan hukuman tersebut kononnya bertentangan dengan hak asasi manusia supaya meneliti kaedah pelaksanan hukuman berkenaan.

Ujar beliau, adalah jelas pelaksanaan hukuman sebatan itu dibuat dalam suasana menjaga dan melindungi hak asasi kedua-dua pesalah termasuk mengambil kira tahap kesihatan mereka sebelum hukuman dilaksanakan.

Dalam masa sama, katanya, Wanita UMNO juga berbesar hati dengan keputusan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) yang turut mempertimbangkan untuk mengenakan hukuman sama ke atas pesalah lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negeri berkenaan.

“Kita berharap negeri-negeri lain turut mempertimbangkan untuk melaksanakan hukuman serupa dalam membendung gejala LGBT yang jelas merosakkan nilai-nilai kemanusiaan sesebuah bangsa.

“Perlu diingatkan, sebagai parti pemerintah, sesebuah kerajaan bertanggungjawab dan memikul amanah dalam memastikan kesejahteraan rakyatnya daripada sebarang perbuatan yang boleh menjerumuskan negara ke arah kehancuran,” katanya. – UTUSAN ONLINE