Beliau bagaimanapun berkata, itu hanyalah pendapat peribadi­nya dan sebagai seorang penguat kuasa undang-undang Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan akur de­ngan keputusan dicapai Kabinet.

“Apabila Kabinet telah memutuskan untuk mansuhkan hukuman bunuh, kita ikut sahajalah... kita ini hanya penguat kuasa undang-undang.

“Tetapi secara peribadi, saya lebih sokong sekiranya hukuman mati dikekalkan, kerana pengedar dadah ini dia merampas satu persatu nyawa anak bangsa kita, mereka membunuh secara senyap,” katanya.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai hasrat memansuhkan hukuman gantung sampai mati oleh kerajaan dalam sidang akhbar serbuan dadah di Ibu pejabat Polis Daerah Kajang, di sini hari ini.

Menurut Mohmad, pihaknya sentiasa mahukan hukuman yang paling berat dikenakan terhadap pengedar dadah, dan sekiranya hukuman mati di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dimansuhkan, Seksyen 39(B)(2) akta sama yang memperuntukkan penjara se­umur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan masih boleh diguna pakai.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan berhasrat memansuhkan hukuman gantung sampai mati dan menggantikannya dengan hukuman penjara seumur hidup.