Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor malahan berkata, keputusan tersebut mesti dicapai melalui referendum sekiranya perlu.

Beliau berkata, antara perkara yang perlu diambil kira ialah perasaan keluarga mangsa, kesesuaian pemansuhan itu dengan pemikiran masyarakat Asia serta kesetimpalan hukuman.

"Masyarakat Asia mempunyai budaya, pemikiran dan kecintaan kepada nyawa. Kita menghormati nyawa.

"Bagi saya sebagai orang Asia, jika seseorang itu didapati membunuh dan dibuktikan melalui proses perbicaraan yang adil, orang itu perlu dikenakan hukuman mati," katanya dalam sidang akhbar di Kelab Sultan Sulaiman, di sini hari ini.

Tambahnya lagi, memandangkan isu ini cukup besar, kerajaan perlu mendapatkan pendapat awam supaya semua pemegang taruh dan orang ramai dapat menyuarakan pendapat mereka tentang isu tersebut.

Beliau turut mempersoal kumpulan yang aktif menggesa kerajaan memansuhkan hukuman tersebut sama ada mereka pernah mendapatkan pandangan keluarga mangsa jenayah bunuh ataupun tidak.

"Saya lihat tidak ada kajian dibuat (terhadap keluarga mangsa). Adakah kumpulan hak asasi ini menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji akibat daripada perbuatan membunuh ini tadi?" soalnya. - UTUSAN ONLINE