Melalui pindaan enakmen berkenaan, denda bagi kesalahan penggunaan tidak betul pingat, bintang dan darjah kebesaran negeri Melaka dinaikkan daripada RM1,000 kepada antara RM250,000 dan RM500,000.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata individu yang disabitkan kesalahan boleh juga dihukum penjara antara satu dan lima tahun atau kedua-duanya sekali denda dan penjara.

Beliau berkata hukuman lebih berat itu penting bagi mencegah penggunaan tidak betul pingat, bintang dan darjah kebesaran negeri Melaka terutamanya melibatkan isu pemberian kurniaan yang didakwa serupa oleh pihak yang tidak diiktiraf.

"Perlembagaan negeri Melaka begitu jelas menunjukkan bahawa hanya Yang Dipertua Negeri boleh mengurnia dan melucut gelaran, martabat dan bintang kehormatan dan kebesaran. Yang Dipertua Negeri dan kerajaan negeri memandang serius kes penyalahgunaan gelaran dan kehormatan tidak diiktiraf.

"Selaras itu, pindaan ini membolehkan penguatkuasaan enakmen dengan lebih meluas jika dibandingkan dengan ruang lingkup sedia ada yang meliputi pencegahan salah guna bagi tujuan profesional dan komersial sahaja," katanya ketika membentangkan usul pindaan enakmen itu pada persidangan DUN di sini.

Usul yang disokong Datuk Lim Ban Hong (BN-Klebang) itu melibatkan lapan fasal pindaan enakmen berkenaan, antara lain melibatkan hukuman lebih berat, meluaskan ruang lingkup enakmen, takrifan baharu dan lapan seksyen baharu.

Datuk Ghazale Muhamad (BN-Rim) ketika membahaskan usul tersebut berkata kini hangat diperkatakan isu tentang dua individu yang menggelar dirinya 'Sultan Melaka' dan 'Bonda Ratu' yang terlibat dengan majlis pemberian anugerah yang tidak diiktiraf oleh kerajaan negeri.

"Enakmen sedia ada tidak mencakupi dengan jelas peruntukan untuk mengheret individu-individu ini ke muka pengadilan, selain kadar denda RM1,000 juga dilihat tidak relevan dengan kemelampauan dibangkitkan," katanya.

Beliau berkata masalah itu bukan sahaja dilihat mempengaruhi perlembagaan malah menyumbang kepada kekeliruan rakyat, mengganggu ketenteraman awam dan keharmonian rakyat di negeri ini.

Sidang dewan bersambung pagi esok. – BERNAMA