HARRY TAN HUAT HOCK
HARRY TAN HUAT HOCK

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock berkata, Kementerian Pendidikan hanya mempunyai guru terlatih dalam bidang akademik yang memfokus kepada pengajaran dan pembelajaran untuk kemenjadian kurikulum pelajar secara keseluruhan.

“Guru tidak mempunyai kepakaran atau dapat meluangkan masa bagi pelajar yang mempunyai masalah disiplin di sekolah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim mencadangkan agar hukuman buang sekolah dihapuskan kerana ia bukan penyelesaian berkesan dalam menangani gejala sosial.

Beliau berkata, hukuman itu seolah-olah menafikan hak pelajar untuk mendapatkan pendidikan asas seperti kanak-kanak lain selain memberi kesan negatif kepada masyarakat kerana anak-anak itu terabai, melepak dan terbabit dalam anasir tidak sihat.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid tidak bersetuju dengan cadangan itu dan berpendapat tiada ada keperluan untuk mengkaji semula hukuman buang sekolah yang dikenakan ke atas pelajar bermasalah memandangkan hukuman itu masih relevan.

Mahdzir berkata, tidak perlu diwujudkan kelas atau sekolah khas untuk menempatkan pelajar bermasalah seperti yang dicadang­kan Rohani.

Harry Tan berkata, sekolah merupakan institusi untuk mendidik dan sehubungan itu peraturan yang berkesan perlu bagi menyelamatkan keseluruhan pelajar daripada anasir negatif.

“NUTP juga berpandangan, kes pelajar mempunyai masalah disiplin berat atau dibuang sekolah seharusnya dilihat sebagai kes kebajikan.

“Oleh demikian, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu menangani masalah tersebut kerana mempunyai kuasa dan akta untuk me­nguruskan pelajar bermasalah,” katanya.