Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau menjangkakan proses pertukaran monsun akan selesai sepenuhnya akhir bulan ini.

‘‘Jabatan Meteorologi telah meramalkan gelombang kedua akan berlaku sehingga tamat pertukaran monsun ini, iaitu dalam minggu pertama November.

‘‘Tetapi melihat kepada keada­an, saya jangka sehingga hujung bulan ini baru ia akan selesai sepenuhnya kerana keadaan cuaca pun sangat tidak menentu sekarang,’’ katanya selepas melawat Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa di sini hari ini.

Sabtu lepas, Pulau Pinang dilanda banjir luar biasa sehingga melumpuhkan sistem infrastruktur di negeri itu dan mengorbankan tujuh nyawa.

Mengenai dana yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk projek mitigasi banjir di Pulau Pinang,

Wan Junaidi berkata, kementerian itu melalui Jabatan Pengairan dan Saliran bersedia untuk melak­sanakan kajian teknikal ke atas sistem dan infrastruktur sedia ada serta yang diperlukan.

Katanya, antara aspek yang akan diberi perhatian ialah sistem perparitan dan saliran, kolam takungan dan penambakan pesisir pantai.

‘‘Banjir luar biasa pada Sabtu lepas menunjukkan kemudahan mitigasi banjir sedia ada tidak mencukupi,’’ katanya.
Najib dalam lawatannya ke Pulau Pinang pada Selasa mengumumkan bantuan RM1 bilion untuk melaksanakan 13 projek mitigasi banjir di negeri itu.

Dalam hal lain, Wan Junaidi berkata, satu kolokium mitigasi banjir akan diadakan pada Januari depan untuk melihat model terbaik dan berkesan untuk membendung ancaman banjir di setiap negeri di Malaysia.– BERNAMA