Disemadikan pada hari kelahirannya ke-60, pemergian Allahyarham Pak Ngah ditangisi bukan sahaja oleh isterinya, Datin Sharifah Mahani Syed Kassim serta sepasang cahaya mata mereka, Siti Syafrina dan Megat Mohd. Syahraini, bahkan ratusan kaum keluarga, sahabat serta kenalan dalam industri hiburan turut sama berkongsi kedukaan.

Antara kenalan terdekat Allahyarham Pak Ngah yang tidak mampu menyembunyikan kesedihan ialah penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Noraniza Idris, Datuk Nassier Wahab, maestro ter­kenal, Datuk Ramli MS, Datuk M. Nasir dan isteri, Datin Marlia Musa, Syura dan ramai lagi.

Bahkan rakan-rakan Pak Ngah ketika sama-sama ber­khidmat di Kumpulan Budaya Negara (KBN) seperti Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, pasangan artis Datuk Zulkifli Zain dan Datin Normala Omar dan juruhebah veteran, Chuari Selamat juga hadir memberikan penghormatan terakhir.

Pemergian Pak Ngah ke rahmahtullah semalam sebetulnya mengejutkan ramai kerana selama ini Allahyarham dikenali sebagai seorang yang tidak gemar berkongsi masalah kesihatannya.

Menurut anak sulungnya, Siti Syafrina, 32, arwah bapa­nya menghidap penyakit darah tinggi, diabetes, jantung serta paru-paru berair.

“Bagaimanapun, Allahyarham enggan keadaan kesihatannya diketahui ramai,” katanya kepada wartawan ketika ditemui di Masjid Kampung Baru sejurus jenazah Allahyarham Pak Ngah tiba dari Batam, Indonesia untuk disembah­yangkan.