Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perbincangan berkaitan isu berbangkit termasuk pertikaian ruang udara dan perairan antara kedua negara masih berterusan dan berjalan dengan baik.

“Kita ada isu tertentu yang dibincangkan bersama rakan sejawat di Singapura dan paling penting perbincangan itu masih berjalan dan saya yakin ia berada di landasan yang betul.

“Selain saya, turut akan mengadakan perbincangan lanjut ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dan Peguam Negara, Tommy Thomas,” katanya dalam sidang akhbar selepas menerima memorandum daripada 43 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) propembebasan Palestin di sini hari ini.

Katanya lagi, Kerajaan Malaysia akan menyegerakan rundingan namun pada masa sama tidak akan berkompromi berkaitan kepentingan serta kedaulatan negara.

“Perbincangan berterusan dijalankan kedua-dua negara dan itu yang paling penting,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan yang dilaporkan agensi berita Reuters kelmari bahawa hubungan antara Malaysia-Singapura disifatkan berada pada tahap amat membimbangkan berikutan pertikaian ruang udara dan perairan antara kedua negara.-UTUSAN ONLINE