Perdana Menteri berkata, kerajaan pimpinan beliau mahu melupakan era tersebut dan sentiasa menjaga hubungan baik antara kedua-dua negara.

“Kami percaya kedudukan kerajaan sekarang merupakan kedudukan yang akan membawa manfaat bersama kepada Singapura dan Malaysia.

“Kami sentiasa berpegang kepada dasar, agenda dan kemampuan kami untuk menyampaikan manfaat sebenar dan ketara kepada rakyat Malaysia serta Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama rakan sejawatannya, Lee Hsien Loong sempena sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Kelapan di Istana Presiden di sini hari ini.

Ditanya bagaimana kedua-dua kerajaan dapat memberi jaminan bahawa projek yang telah dilaksanakan secara bersama tidak terjejas jika berlaku perubahan dalam politik susulan pilihan raya umum akan datang di Malaysia, Najib menegaskan bahawa pilihan adalah kepada rakyat.

“Kami mengamalkan demokrasi dan biar rakyat yang memilih. Kami mempunyai hubungan yang baik dengan negara jiran, Singapura dan telah membuktikan kami boleh bekerjasama,” katanya.

Sementara itu, Hsien Loong dalam respon beliau berkata, semua projek yang melibatkan lebih daripada sebuah negara dan memakan masa lebih daripada satu penggal pemerintahan memerlukan komitmen jangka panjang.

“Komitmen itu diberi secara formal manakala perjanjian yang ditandatangani antara dua kerajaan hari ini merupakan suatu ikatan perjanjian yang terus terpakai dan tidak kiralah siapa jua yang menjadi kerajaan di sebelah sana, perjanjian ini perlu mereka warisi,” katanya.

Dalam pada itu, kedua-dua pe­mimpin turut menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama bagi meneroka pelbagai bidang lain pada masa depan ekoran kejayaan projek Marina One dan DUO.

Selain projek Sistem Transit Rapid (RTS) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), pemukiman kali ini turut membincangkan cadangan untuk mengkaji semula kadar bayaran tol di Lebuh Raya Linkedua pada waktu puncak sebagai salah satu pendekatan untuk mengurangkan kesesakan di Tambak Johor serta menambah jumlah kekerapan perkhidmatan kereta api daripada 26 kepada tiga perjalanan sehari.