Perdana Menteri berkata, persaudaraan antara Malaysia de­ngan Arab Saudi telah terjalin sejak sekian lama, namun bertambah akrab dengan kunjungan Penjaga Dua Kota Suci, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia tahun lalu, iaitu negara pertama dikunjungi baginda di Asia.

Jelas beliau, hasil kunjungan tersebut Malaysia menerima banyak manfaat sama ada dalam bentuk pendidikan, perniagaan, pelaburan dan juga keagamaan.

“Pada masa sama, saya juga telah dijemput oleh Raja Salman untuk berkunjung ke Arab Saudi. Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT jua, minggu ini saya berpeluang memenuhi jemputan tersebut selain berkesempatan mengerjakan umrah bersama bonda Tun Rahah serta keluarga tercinta.

“Dalam pertemuan dua hala saya bersama baginda Raja Salman, kami telah membincangkan perkara seperti yang dipersetujui dalam kunjungan terdahulu baginda ke Malaysia, antaranya kerjasama ekonomi, keselamatan dan perkara berkaitan ibadah haji selain penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman di Putrajaya,” katanya menerusi entri terbaharu di blog NajibRazak.com semalam.

Berikutan itu, Perdana Menteri mengucapkan terima kasih kepada Raja Salman atas layanan istimewa taraf tetamu negara kepada beliau dan rombongannya.

“Kami diberi penghormatan berkunjung ke makam Rasulullah SAW dan saya juga berpeluang memasuki Kaabah. Syukur alhamdulillah.

“Semoga hubungan persaudaraan ini akan terus terjalin erat dan bertambah kukuh lagi di masa hadapan, Insya-Allah,” katanya.