Konsul Jeneral China ke Sabah yang baharu, Liang Caide berkata, peluang dan potensi berkenaan disebabkan hubungan yang baik dan erat di antara dua negara berkenaan.

"Hubungan antara China dan Sabah berkembang dengan cepat dan pertukaran antara budaya serta pendidikan telah menjadi sangat aktif, begitu juga dalam sektor pelancongan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, di sini semalam.

Caide memulakan tugas di Pejabat Konsul China di Kota Kinabalu selepas menggantikan Chen Peijie yang merupakan Konsul China ke Sabah pertama yang berkhidmat pada 30 Januari 2015 hingga 9 Julai lalu.

Mengulas lanjut mengenai potensi industri pelancongan negara itu, beliau berkata, jumlah pelancong China ke Malaysia adalah seramai 2.2 juta orang pada 2016 dan angka itu dijangka meningkat kepada tiga juta tahun ini.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 318,000 adalah pelancong China yang berkunjung ke Sabah dan bilangan itu dijangka meningkat kepada 415,000 orang tahun ini.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan bahawa Sabah dan Wilayah Zhejiang akan menandatangani perjanjian rasmi pada November ini sejajar dengan memorandum persefahaman (MoU) ‘Sister City’ di antara Bandar Raya Kota Kinabalu dan Hangzou yang dipersetujui pada Julai lalu.

"Perjanjian 'Sister City' di antara kedua-dua negeri merupakan langkah baharu dalam meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan China sebagai platform untuk memupuk persahabatan dan kolaborasi manfaat bersama," jelasnya.

Beliau menambah, perjanjian tersebut bakal memberi peluang yang baik kepada pembangunan China dan negeri ini terutama dalam menarik lebih ramai pelabur ke Sabah.

Menurutnya, perdagangan China di Malaysia telah mencecah RM100 bilion selama lapan tahun ini sekali gus menjadikan Malaysia sebagai rakan perdagangan terbesar di Asia. - UTUSAN ONLINE