Canberra ketika mengumumkan sekatan tersebut memberikan alasan syarikat-syarikat yang dimiliki oleh kerajaan asing membawa risiko keselamatan kepada negara itu.

“Penglibatan vendor yang berkemungkinan mendapat arahan luar bidang kuasa daripada kerajaan asing yang bertentangan dengan undang-undang Australia membawa satu risiko keselamatan kepada negara.

“Tiada sebarang kombinasi kawalan teknikal keselamatan yang dapat mengekang risiko tersebut.” kata pemangku Menteri Dalam Negeri merangkap Menteri Komunikasi Australia, Mitch Fifield dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Huawei Australia dalam responsnya terhadap sekatan berkenaan menganggap tindakan tersebut hanya akan memberikan kesan kepada pengguna.

“Ini merupakan satu keputusan yang amat mengewakan pengguna,

“Huawei merupakan pendahulu dalam rangkaian 5G yang telah membekalkan Australia teknologi tanpa wayar yang selamat dan terjamin selama hampir 15 tahun,” kata syarikat tersebut melalui laman Twitter rasminya.

Huawei yang merupakan salah sebuah penyedia perkhidmatan dan peralatan telekomunikasi terbesar di dunia telah lama berada dalam pemerhatian beberapa buah negara termasuklah Amerika Syarikat dan Australia kerana didakwa mempunyai kaitan dengan kerajaan CHina.

Sebelum ini, pada 2012, syarikat berkenaan pernah dihalang daripada membida projek jalur lebar kebangsaan Australia ekoran kebimbangan kerajaannya terhadap keselamatan siber.

Bagaimanapun, syarikat berkenaan menafikan mempunyai sebarang kaitan dengan kerajaan negara asalnya itu.

Keputusan Canberra tersebut dibuat pada ketika hubungan Australia dan China berada dalam keadaan tegang sehingga memaksa negara kepulauan berkenaan mengalihkan sasaran bantuan luarnya bagi mencuri sokongan dan perhatian negara-negara rantau Pasifik.

Manakala Beijing dalam masa sama cuba memeperluaskan pengaruhnya dengan memberikan pinjaman kewangan kepada negara-negara miskin di rantau Pasifik. - AFP