Menurut Perdana Menteri, ke­rajaan tidak boleh kata bahawa negara tidak akan ada kereta api berkelajuan tinggi kerana per­khidmatan itu merupakan sesuatu yang diperlukan pada masa depan terutamanya merentasi kawasan semenanjung.

“Kerajaan tidak mampu untuk membinanya masa ini, jadi kami sebenarnya menangguhkan pelaksanaan projek tersebut.

“Kerajaan tidak boleh kata kita tidak akan ada kereta api berkelajuan tinggi di Malaysia. Apa yang kerajaan boleh lakukan ialah menangguhkan projek tersebut ke­rana menelan perbelanjaan yang besar pada waktu ini,” katanya dalam wawancara bersama Nikkei Asian Review, baru-baru ini.

Pada 28 Mei lalu, Dr. Mahathir memberitahu, kerajaan telah mem­buat keputusan akhir untuk membatalkan projek HSR kerana tidak memberi manfaat serta me­libatkan kos yang tinggi.

Sementara itu, dalam sidang akhbar kepada wartawan Malaysia me­ngenai hasil lawatan kerja tiga harinya ke Jepun, Dr. Mahathir berkata, Malaysia memohon Jepun memberikan pinjaman mudah bagi digunakan untuk mengurangkan beban hutang negara ketika ini.

Perdana Menteri berkata, beliau menyebut perkara itu kepada Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe mengenai pinjaman mudah yang diberikan ketika beliau (Dr. Mahathir) menjadi perdana menteri sebelum ini, dengan kadar faedah 0.7 peratus dan dibayar balik lebih 40 tahun.

“Saya sudah menerangkan ten­­tang masalah. Untuk menghadapi masalah ini, saya meminta pinjaman Yen dari Jepun dan Abe setuju untuk mengkajinya.

“Kredit yang dia (Jepun) bagi itu, kita buat apa yang kita janji dengan dia, mungkin juga kita akan selesaikan pinjaman berkos tinggi yang kita ada dan menggantiannya dengan kredit Yen.– UTUSAN