Menerusi persetujuan yang dicapai, Malaysia akan membayar kepada Singapura sebanyak SGD$15 juta (RM45.1 juta) bagi menanggung kos dihadapi Si­ngapura terhadap penangguhan sementara tersebut.

Surat sampingan tersebut ditandatangani oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama Menteri Penyelarasan Infrastruktur yang juga Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri Singapura yang juga Menteri Penyelaras Keselamatan Singapura, Teo Chee Hean.

Menurut Mohamed Azmin, menerusi persetujuan dicapai, Malaysia akan membayar kos penangguhan kepada Singapura sebanyak SGD$15 juta (RM45.1 juta) sebelum Januari tahun hadapan.

“Saya tidak hendak mengulas mengenai kos pembatalan projek (sekiranya tidak diteruskan selepas Mei 2020) kerana komitmen kita adalah untuk meneruskan projek," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis berkenaan di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Menurutnya, perbincangan bagi penangguhan berkenaan bermula pada 11 Ogos lalu menerusi pertemuan antara beliau dan Boon Wan dengan hasrat asal Malaysia untuk tempoh penangguhan selama empat tahun.

Bagaimanapun, katanya, ke­dua-dua pihak bersetuju penangguhan projek hanya untuk tempoh dua tahun kerana sebarang tempoh lebih lama bakal memberi kesan besar terhadap model perniagaan dan kenaikan kos.

Dalam pada itu, Boon Wan berkata, kos penangguhan yang perlu dijelaskan oleh Malaysia adalah berikutan kerja-kerja pemindahan utiliti yang telah dijalankan oleh kontraktor di Singapura.

"Kita memahami mengapa Malaysia memerlukan penangguhan sementara, walaupun dari segi bilateral kita tidak terikat, kita telah memberi pertimbangan sewajarnya kepada Malaysia untuk persefahaman yang adil kepada kedua-dua pihak," katanya.

Dalam pada itu, menurut kenyataan bersama Malaysia-Singapura mengenai HSR, sekiranya Malaysia tidak meneruskan projek HSR selepas 31 Mei 2020, Malaysia akan menanggung kos yang dihadapi pihak Singapura dalam memenuhi Perjanjian Bilateral HSR.

“Sepanjang tempoh penangguhan, Malaysia dan Singapura akan meneruskan perbincangan mengenai langkah ke hadapan yang terbaik bagi projek HSR dengan matlamat mengurangkan kos," kata kenyataan itu.

Berikutan penangguhan ber­kenaan, kata kenyataan itu, ke­dua-dua syarikat SG HSR Pte. Ltd. dan MyHSR Corporation Sdn. Bhd. akan menghentikan tender antarabangsa bersama terhadap HSR Assets Company (AssetsCo). 

“Dengan ini, perkhidmatan HSR antara Singapura dengan Kuala Lumpur dijangkakan bermula pada 1 Januari 2031, berbanding tarikh asal yang disasarkan pada 31 Disember 2026," kata kenyataan tersebut.