Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berkata, hal ini kerana sudah tidak ada lagi tempat untuk setiap penulis mempamerkan bakat mereka dalam media cetak selain di Utusan Malaysia.

“Jika ingin menulis dalam media sosial, ia tidak memberi perkembangan yang baik kepada setiap penulis kerana impaknya hanya seketika berbanding karya yang diterbitkan dalam media cetak.

MOHAMAD SALEEH
MOHAMAD SALEEH 

“Dengan adanya HSKU, penulis baharu dan penulis lama akan berasa dihargai dan lebih bersemangat untuk menghasilkan mutu karya terbaik. Sastera tanpa rangsangan tidak akan berkembang dan dengan adanya hadiah, ia menjadi pemangkin kepada mereka,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

HSKU merupakan acara tahunan yang dianjurkan Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad bagi menghargai karya-karya berbentuk cerpen, sajak dan esei yang pernah disiarkan dalam akhbar dan majalah terbitan Kumpulan Utusan seperti Mingguan Malaysia, majalah Wanita dan Utusan Online sepanjang tahun berkenaan.

Sebanyak enam kategori dipertandingkan iaitu Cerpen Umum, Cerpen Remaja, Puisi, Rencana , Novel Remaja serta Cerpen Media Baharu. Majlis pe­nyampaian hadiah akan diadakan di Dewan Besar, Ibu Pejabat Utusan melayu di sini pada 27 Februari bermula pukul 3 petang dan terbuka kepada orang ramai.

Mengulas lanjut, Mohamad Saleeh berkata, banyak penulis baharu yang muncul setiap kali HSKU dianjurkan dan perkara itu memberi isyarat positif kepada masa depan sastera negara.

Katanya, HSKU telah terbukti menjadi medan pencungkil bakat kepada penulis yang mahu mengetengahkan bakat mereka dan menjadi ruang untuk mereka meningkatkan lagi kemahiran masing-masing.

“Setiap penulis memang mengharapkan karya mereka diterbitkan dalam media cetak. Utusan Malaysia perlu meneruskan perjuangan mengangkat sastera ini. Saya berharap tidak ada pihak menggunakan politik untuk melemahkan Utusan Malaysia,” katanya.