Pemenang Hadiah Utama Cerpen HSKU 2005, Dr. Ariff­ Mohamad berkata, hal ini kerana HSKU telah memberi peluang kepada penulis muda mengetengahkan karya ma­sing-masing sekaligus melahirkan lebih ramai pelapis baharu dalam bidang sastera.

“Bagi mengetahui sama ada karya yang dihasilkan penulis itu baik dan berkualiti, kita memerlukan golongan profesio­nal dalam bidang sastera untuk membuat penilaian melalui HSKU, penulis boleh melihat sama ada karya mereka benar-benar bagus ataupun tidak.

‘‘Kualiti karya yang dihasilkan penulis pasti terjaga ke­rana mereka perlu mengikut syarat yang ditetapkan. Sebab itu HSKU berjaya menjadi satu daripada ‘kilang’ menghasilkan penulis baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ariff berkata, karya cerpen dan puisi yang diterbitkan dalam Mingguan Malaysia pernah menjadi satu kegilaan kepada penulis dalam negara sekitar tahun 2000 hingga 2010.

Katanya, beliau yakin Kumpulan Utusan mampu mengembalikan zaman keemasan tersebut kerana ketika ini sudah kurang platform untuk penulis muda mengete­ngahkan bakat mereka.

HSKU merupakan acara tahunan anjuran Utusan Melayu (M) Berhad bagi menghargai karya-karya sastera dalam genre cerpen, sajak, novel remaja dan esei.

HSKU yang berusia lebih tiga dekad penganjurannya akan mengadakan majlis penyampaian hadiah di Dewan Besar, Ibu pejabat Utusan Melayu di sini pada 27 Februari bermula pukul 3 petang dan terbuka kepada orang ramai.