Dengan tema Kesultanan Melayu, acara itu bakal meriah dengan kehadiran kira-kira 1,000 jemputan terdiri daripada penggiat sastera termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Malah, menurut Pengurus Komunikasi Korporat dan Pengurusan Jenama Kumpulan Utusan, Hazura Ahmad Halil, lima orang Sasterawan Negara turut telah mengesahkan kehadiran mereka bagi memeriahkan majlis.

“Setakat ini lima Sasterawan Negara telah sahkan akan hadir, iaitu Datuk Seri A. Samad Said; Datuk Dr. Baharuddin Zainal (Baha Zain); Datuk Dr. Ahmad Khamal Abdullah (Kemala); Datuk Dr. Zurinah Hassan dan Datuk Dr. Anwar Ridhwan.

“Selain itu, Kumpulan Utusan turut menjemput tokoh-tokoh dari parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan penulis sendiri untuk menjadikan acara Rabu ini menjadi satu majlis menghimpunkan sasterawan Malaysia dari segenap pelusuk negara,” katanya ketika ditemui di Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad (UMMB) di sini hari ini.

Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan akan diadakan pada 27 Februari ini bertempat di Dewan Besar Utusan, Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad, Jalan Utusan di sini.

Majlis yang akan dirasmikan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga akan diserikan dengan persembahan istimewa daripada Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Hazwan Haziq Rosebi (Haziq AF) dan Sabri Yunus sebagai pengacara.

Tambah Hazura, ketika ini persiapan rapi sedang dijalankan bagi memastikan majlis berjalan dengan lancar.

Katanya, pihaknya komited mahu memastikan segala persediaan termasuk dari dekorasi dan persembahan menepati tema Kesultanan Melayu.

“Untuk membangkitkan suasana klasik, kami menyediakan persembahan demonstrasi permainan tradisional dan silat gayung selain alunan muzik caklempong serta gamelan. Malah para urus setia dan jemputan juga digalakkan memakai pakaian tradisional nanti,” katanya. - UTUSAN ONLINE