Selari dengan objektifnya untuk memartabatkan kesusasteraan Melayu, majlis penyampaian HSKU 2016 dibuka dengan persembahan bacaan puisi oleh para pensyarah Pusat Bahasa dan Linguistik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Lari daripada kebiasaan persembahan puisi yang hanya dibacakan dalam bahasa Melayu, persembahan puisi pada malam HSKU 2016 itu turut dibacakan dalam bahasa Arab, Perancis dan Jerman.

Sudah tentu, bahasa Melayu menjadi keutamaan apabila pembukaan persembahan puisi itu dimulai dengan bacaan puisi oleh Pengerusi Panel Penilai HSKU 2016, Prof. Datuk Rahman Shaari diikuti bacaan puisi dalam bahasa Perancis oleh Dr. Suziana Mat Saad diikuti alunan puisi dalam bahasa Jerman oleh Hasnoor Shima Ahmad Hassan.

Seterusnya, Prof. Madya Dr. Ashinida Aladdin membuai perasaan hadirin dengan bacaan puisi dalam bahasa Arab pula.

Tambah menarik, setiap alunan puisi itu diselang seli de­ngan persembahan muzik tradisional seperti gambus, rebab dan arkodian.

Momentum persembahan kemudiannya diteruskan pula dengan persembahan nyanyian oleh penyanyi veteran, Salamiah Hassan sebelum majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang dimulakan.

HSKU 2016 turut disokong oleh penggiat seni tanah air antaranya penerbit filem ter­kenal, Datuk Yusof Haslam dan Datin Seri Tiara Jacquelina yang turut hadir dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Dalam pada itu, Rahman menerusi tayangan video ketika mempersembahkan laporan panel penilai HSKU 2016 berkata, karya-karya yang terpilih sebagai pemenang memberi penghayatan kepada perkara-perkara baharu yang memberi pengalaman luar biasa kepada pembaca.

“Novel remaja yang terpilih ialah novel yang dapat mendi­dik remaja dari segi emosi. Untuk cerpen remaja pula, penulis memberit tumpuan kepada kebijaksanaan dan tingkah laku remaja lalu digabungkan de­ngan perbezaan budaya dengan plot yang disusun rapi lengkap dengan unsur imbas kembali dan monolog,” katanya.

Tambah beliau, secara ke­seluruhannya, kesemua karya yang dipilih sebagai pemenang HSKU 2016 penuh dengan elemen yang memberi sumbangan pemikiran kepada para pembacanya.