Majlis tersebut yang berlangsung di Hotel Istana di sini diserikan dengan kehadiran Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Baginda berkenan untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang Sayembara HSKU Ke-32 yang ditaja oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Yang turut hadir Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar; Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Timbalan Ketua Pe­ngarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2016 merangkap Pengarang Mingguan Malaysia, Badrul Azhar Abdul Rahman.

Selain itu, majlis penyam­paian hadiah HSKU Ke-32 hari ini juga turut dimeriahkan dengan kehadiran sasterawan serta penggiat seni tanah air antaranya Datuk Dr. Anuar Rethwan, Datuk Dr. Zurinah Hassan dan Datuk Yusof Haslam.

HSKU pertama kali dianjurkan pada 1985 secara berkolaborasi antara Utusan-Public Bank dan tahun ini meneruskan kesinambungan dengan penaja utamanya PNB dan kerjasama SKMM.

Sebelum PNB, Kumpulan Utusan turut bekerjasama dengan ExxonMobil bagi mengangkat martabat kesusasteraan Melayu dan tamadun bangsa ke tahap yang lebih tinggi.

Sepanjang tiga dekad penganjurannya, HSKU berjaya mencungkil bakat baharu dalam dunia penulisan sastera Melayu dan edisi kali ini menyaksikan penulis, Salina Ibrahim mengungguli kategori novel Remaja HSKU apabila karyanya yang bertajuk Khilaf diangkat sebagai pemenang utama kategori tersebut.