LIM SWEE TIN
LIM SWEE TIN

Sasterawan dan tokoh bahasa, Dr. Lim Swee Tin berkata, sejak penganjurannya bermula pada 1985, HSKU juga membantu menyemarakkan bidang kesusaste­raan dengan mencungkil bakat-bakat baharu dalam penulisan pelbagai genre.

“HSKU 2016 kali ini saya lihat ramai penulis baharu yang masih muda muncul dengan idea segar dalam pelbagai dimensi cerita. Ele­men ini penting untuk ke­susasteraan agar selari dengan peredaran masa dan menjadi penanda aras dalam masyarakat kita,” katanya di sini hari ini.

Sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu novel remaja, cerpen, cerpen remaja, puisi, rencana swasta dan kate­gori baharu iaitu cerpen media baharu iaitu penyertaan melalui portal Utusan Online.

Swee Tin yang juga Timbalan Pengerusi Panel Penilai dan Sekretariat HSKU 2016 berkata, usaha Kumpulan Utusan sejak dari dahulu untuk memartabatkan kesusasteraan Melayu juga wajar dipuji.

“Kumpulan Utusan tidak pernah surut semangatnya untuk memajukan sastera dan HSKU saya lihat memberi impak dalam memajukan sastera nasional.

“Selain itu, Kumpulan Utusan juga menyediakan saluran yang luas serta pelbagai merangkumi akhbar dan majalah untuk menyiarkan karya-karya penulis angkatan baharu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menambah, pandangan bahawa bidang kesusasteraan Melayu tidak lagi relevan untuk pembangunan negara perlu dikikis daripada masyarakat memandangkan sastera itu sendiri yang berperanan membentuk jati diri rakyat.

“Sebenarnya banyak perkara yang boleh diceritakan melalui penulisan sastera kerana penulisnya akan mengupas isu-isu yang dekat dengan masyarakat. Elemen sastera itu sendiri yang dipenuhi dengan emosi dan kejiwaan dapat mempengaruhi masyarakat dalam sesuatu isu,” katanya.