Pengerusi LPP, Tan Sri Zainal Dahalan berkata, terdapat sembilan aktiviti yang disusun bagi memastikan sambutan kali ini memenuhi kehendak golongan sasar dan dalam masa sama matlamat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan jabatan serta agensi dapat berjalan seiring de­ngan aspirasi negara.

Acara yang bakal berlangsung selama empat hari tersebut adalah pertandingan HPPNK, konvensyen, pameran agroteknologi, Agrotrip, Festival Makanan Malaysia (Myff), Rhytm Of The Farmers, pameran dan jualan, Agro Nbos serta Agro Youth Camp.

“Bukan itu sahaja, sambutan HPPNK kali ke-42 pada tahun ini yang bertemakan Our Food, Our Future turut membawakan Livestock Malaysia 2017. Livestock Malaysia ini bukanlah sekadar pameran ternakan, malah turut menyediakan dan memperkenalkan produk-produk terbaharu, perkhidmatan dan teknologi yang dapat meningkatkan produktiviti sektor ternakan,” katanya.

Sambutan HPPNK diperkenalkan pada 1975 dan dilancarkan oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak pada 6 Ogos 1975 di perkarangan Bangunan Parlimen.

Sambutan yang diadakan setiap tahun itu merupakan pengiktirafan dan penghormatan kerajaan terhadap peranan dan jasa peladang, penternak dan nelayan dalam menghasilkan pengeluaran bahan makanan dan pertanian untuk keperluan negara.

Tambah Zainal, sepanjang sambutan tersebut, turut dipamerkan pelbagai inovasi baharu dalam meningkatkan pertumbuhan ternakan di Malaysia dan menggalakkan para penternak menggunakan kaedah baharu dalam meningkatkan kecekapan pengeluaran hasil ternakan.

“Kerajaan mengharapkan akan berlakunya satu transformasi dalam sektor pertanian dan industri asas tani terutamanya pertanian dikomersialkan dan menjadi sumber pendapatan utama kepada rakyat, sekali gus dapat meningkatkan pendapatan negara.

“Menjadi hasrat kerajaan untuk melihat aktiviti pertanian moden yang diusahakan oleh rakyat Malaysia secara bersepadu dapat membangunkan aktiviti pertanian dan mengembangkan teknologi pertanian yang sekali gus dapat menjana ekonomi negara,” jelasnya.

Sempena sambutan tersebut juga katanya, diharap dapat membantu usaha meningkatkan pendapatan masyarakat peladang agar persepsi masyarakat terhadap sektor pertanian akan turut berubah.

“Selain itu, usaha tersebut juga berjaya meremajakan Pertubuhan Peladang melalui transformasi regulatori iaitu dengan memperkasakan urusan pendaftar supaya relevan pada masa kini yang boleh dilihat dari beberapa kejayaan utama yang dicapai seperti transformasi perundangan yang melibatkan pindaan Peraturan Pertubuhan Peladang khususnya pelantikan Ahli Jemaah Pengarah di semua peringkat pengurusan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Pertubuhan Peladang Ne­geri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

“Usaha mentransformasi Pertubuhan Peladang dilakukan melalui pelantikan dua orang ahli jemaah pengarah peladang muda di semua peringkat Pertubuhan Peladang memberi kesan positif apabila bilangan peladang muda meningkat sebanyak 548 orang pada 2016 iaitu sebanyak 18 peratus berbanding satu peratus pada 2014,” katanya.

Beliau berkata, sasaran peladang muda sehingga 2020 adalah sebanyak 30 peratus daripada sejuta ahli Pertubuhan Peladang yang berjumlah 300,000 orang.

“Perkara itu merupakan satu transformasi dalam memberi peluang dan idea baru supaya pergerakan Pertubuhan Peladang terus relevan dan dapat menarik minat golongan muda, agar suara mereka dapat membawa perubahan dalam membantu pergerakan Pertubuhan Peladang,” ujarnya.