Pengurus Besarnya, Ahmad Rizal Al-Haj berkata, set ‘Lunch Box’ itu yang mengandungi dua jenis menu iaitu nasi ayam dan nasi tomato masing-masing berharga RM7 setiap satu dan didatangkan dengan air minuman percuma.

“Langkah Hotel Mudzaffar menyediakan perkhidmatan penghantaran ini bagi memudahkan pelanggan yang tidak berkesempatan untuk keluar makan tengah hari di luar dan harga yang ditawarkan amat berpatutan.

“Tempahan boleh dibuat sebelum pukul 11 pagi setiap hari dan kami menyediakan 10 kakitangan untuk menghantar set makanan ini dan setiap tempahan perlu melebihi 10 set untuk penghantaran percuma,” katanya dalam sesi pengenalan menu tersebut kepada media di hotel itu di sini petang ini.

Menurut Ahmad Rizal, set nasi ayam dihidangkan bersama ayam panggang, salad, sos dan kicap bijan manakala nasi tomato disediakan bersama ayam masak merah dan sayur acar timun.

Selain itu kata beliau, Hotel Mudzaffar yang sudah beroperasi sejak dua tahun lalu di Jalan Wisma Persekutuan, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) menyediakan set ‘Let’s Do Lunch’ yang menyediakan empat menu hidangan berharga RM20 setiap satu.

Turut disediakan adalah set makanan tengah hari berasaskan masakan tradisional India iaitu ‘Thali Set’ dan ‘Tandoori Set’ bermula pada harga RM15.90 hingga RM22.50 bermula Isnin lalu.

Orang ramai khususnya di sekitar Ayer Keroh yang ingin membuat pesanan set makanan tengah hari di hotel itu boleh menghubungi talian 06-2347733 untuk tempahan dan pertanyaan. - UTUSAN ONLINE