Salah seorang mangsa, Nur Elyna Hasan, 22, berkata, dia dan rakannya, Norfazliana Mohd. Nasir, 22, berasa sangat kecewa dengan tindakan pengurusan hotel berkenaan kerana syarat tidak bertudung tidak dinyatakan sebagai salah sayu kriteria dalam iklan pemilihan bagi jawatan penyambut tetamu yang ditawarkan.

“Sebaik sahaja memasuki bilik temuduga, panel yang merupakan seorang wanita bukan Melayu berkata untuk jawatan yang ditawarkan, calon tidak boleh mengenakan tudung. Dia tanya, jadi, awak hendak teruskan ataupun tidak?

“Kalau hendak kerja, awak kena buka tudung khususnya di hotel seperti ini. Apabila saya cakap tidak mahu buka, panel itu langsung tidak mahu meneruskan proses temuduga berkenaan. Nasib saya turut dialami rakan saya dan beberapa calon Melayu beragama Islam lain yang bertudung,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nur Elyna yang kini bekerja sebagai guru taska berkata, dia berasa terkejut dan marah dengan layanan diterimanya apatah lagi tindakan itu dilakukan di negara ini.

“Dalam borang permohonan tak ada dinyatakan semua ini tapi bila pergi temuduga semua benda yang diminta tidak diperiksa, lain pula yang jadi.

“Saya rasa kecewa dengan tindakan kurang profesional pihak pengurusan hotel. Bayangkan jika ada calon yang dari jauh datang ke sini untuk temuduga tetapi akhirnya ‘dihalau’ keluar tidak sampai lima minit pun ditemuduga bagaimana?”

“Saya berharap agar penindasan secara halus ini dapat dihentikan dan pihak berwajib mengambil maklum perkara ini. Jika tidak, golongan ini akan terus mengambil kesempatan daripada situasi seperti ini,” tegasnya. - UTUSAN ONLINE