Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Fauzi Abidin berkata, hospital yang ditubuhkan pada tahun 1984 itu merupakan hospital swasta yang memenuhi tuntutan fardu kifayah menerusi perkhidmatan cemerlang dan profesio­nal, teknologi terkini serta tenaga kerja yang berdedikasi bagi memenuhi kehendak pelanggan.

“Komitmen utama kami kini adalah untuk memastikan Hospital PUSRAWI sentiasa menjadi pilihan utama pelanggan. Justeru itu, kami memberi penekanan kepada soal sikap dan cara layanan serta persekitaran yang kondusif bagi memenuhi kehendak pelanggan.

“Kesihatan, keselesaan dan keselamatan pelanggan merupakan keutamaan kami dan bagi memastikan perkhidmatan yang cemerlang, Hospital PUSRAWI telah diiktiraf dengan pensijilan ISO9001:2008 selain turut mendapat pengiktirafan sebagai Hospital Rakan Bayi oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

“Dalam masa yang sama, Hospital PUSRAWI turut menawarkan pelbagai khidmat kepakaran melibatkan pelbagai disiplin untuk semua golongan tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Menjelaskan lebih lanjut me­ngenai keistimewaan Hospital PUSRAWI, Mohd. Fauzi berkata, selain mesra masyarakat, Hospital PUSRAWI juga mesra ibadah serta mempunyai Unit Bimbi­ngan dan Kaunseling di mana ada warga kerja datang melawat pesakit di wad bagi tujuan memberi sokongan moral dan tunjuk ajar berkenaan solat serta mengambil wuduk semasa sakit.

“Langkah itu seiring dengan objektif kami untuk memberi perkhidmatan profesional de­ngan latihan berterusan, menyediakan persekitaran yang selesa dan mesra pelanggan serta memupuk budaya kerja cemerlang berasaskan nilai-nilai Islam,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Hospital PUSRAWI, Datuk Paduka Ahmad Yamin A. Rahim berkata, Hospital PUSRAWI telah meletakkan warga kerja dan pelanggan sebagai aset penting syarikat bersesuaian dengan cogan kata mereka, We’ll take care of you.

“Hospital PUSRAWI mempunyai jenama dan imej tersendiri dengan kepakaran serta perkhid­matan yang disediakan. Kepercayaan yang diberikan oleh pe­langgan selama ini meyakinkan kami untuk terus memperkukuhkan Hospital PUSRAWI berteraskan strategi yang dinamik.

“Kami juga berbangga de­ngan komitmen sangat tinggi yang diberikan oleh kesemua doktor pakar di hospital ini dan mereka juga amat setia dengan kami. Jadi tidak hairanlah pakar-pakar hebat ini menjadi daya tarikan Hospital PUSRAWI,” katanya.

Bagi perancangan jangka masa pendek, Ahmad Yamin berkata, Hospital PUSRAWI akan menarik lebih ramai lapisan masyarakat dari pelbagai bangsa kerana ia juga menyediakan pakar bukan bumiputera yang cukup komited.

“Dalam pada itu, Hospital PUSRAWI juga menawarkan pakej-pakej yang cukup kompetitif dan menarik, misalnya memberi harga istimewa buat pemegang-pemegang kad SETIA, CERIA dan PERMATA.

“Kami juga akan melancarkan aplikasi yang membolehkan pe­langgan menetapkan temu janji dengan hanya menggunakan hujung jari menerusi aplikasi PUSRAWI 4U,” katanya.